Bismillahirrahmanirrahim…
Alhamdulillah, pada 29-31 Jun 2009 yang lepas, telah berlangsungnya Kursus Pembangunan Belia 2009 yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pedas, Negeri Sembilan. Program ini agak berbeza daripada program-program yang lain, kerana saya menjadi fasilitator kepada 17 orang belia yang berumur dalam lingkungan 17-28 tahun.Ya, ini merupakan pengalaman baru kerana sebelum ini saya tidak pernah mengendalikan mereka yang berumur lebih tua daripada saya. Melihatkan kepada cara pemikiran dan gaya hidup mereka seperti yang telah diceritakan oleh anak-anak buah saya,membuatkan diri ini berasa begitu bersyukur kerana dipilih oleh Allah s.w.t untuk bersama-sama dengan mereka..
Sewaktu pendaftaran, pelbagai ragam peserta dapat dilihat , ada yang berwarna warni rambutnya..hu3, dan perangai anak remaja yang pelbagai.Jiwa yang muda remaja begini barangkali.Abang Razak ada mengingatkan saya bahawa jangan ingat mereka seperti budak-budak yang bersekolah agama. Mereka sememangnya memerlukan bimbingan.Latar belakang keluarga yang pelbagai dan datang dari institusi pengajian yang berbeza kadang-kadang membuatkan perserta saling berkelompok, namun kami sebagai fasi cuba untuk mengelakkan keadaan ini daripada berlaku melalui LDK yang dijalankan.
Agak geli hati dengan nama panggilan anak-anak buah saya, antaranya “keliwon” dan “panjang”.Saya berasa lega kerana berjaya menerangkan kepada mereka mengenai tujuan mereka diciptakan Allah s.w.t.Mereka langsung tidak mengetahui tujuan mereka hidup di muka Bumi ini.Pada waktu inilah,saya cuba menahan air mata daripada mengalir.Alhamdulillah, kini mereka telah tahu dan saya doakan mereka diberi hidayah untuk berubah dan seterusnya meneruskan tugas sebagai hamba dan khalifahNya di Bumi Allah ini.
Adi yang berusia 18 tahun , merupakan heavy smoker, dan dia pernah mencuba untuk menghidu gam disebabkan perasaan ingin mencuba dan mengikut jiwa remaja. Itulah jawapannya tatkala saya bertanya mengapa dia masih ingin cuba walaupun sudah tahu ianya memberikan kesan buruk dan tidak seharusnya dia lakukan.Dia banyak bercerita tentang kehidupannya setelah di”provoke” oleh saya.Air matanya bertakung sewaktu dia menceritakan kisah hidupnya, seperti menahan air mata supaya tidak jatuh, dia seakan mengerti bahawa saya ingin melihat perubahannya.Dia menundukkan muka lalu memandang jauh ke tepi.Segera saya beralih tumpuan kepada yang lain.
Di dalam kumpulan saya ada 2 orang belia yang berumur 28 tahun.Kak Mariana dari Pure Polytechnic dan Musa dari ILP sendiri.Kak Mariana agak pendiam dan akan bercakap jika ditanya dan Musa agak pendiam juga, lebih kepada memerhati dan dia selaku ketua kumpulan 2, dipanggil along oleh yang lain-lain.Katanya itu nama panggilannya.Musa yang tidak lekang dengan kopiah di kepalanya mengatakan bahawa imannya lemah dan kadang-kadang dia mudah terkesan dengan suasana.Hasil penerangan saya menampakkan sinar kepuasan di mukanya.InsyaAllah.
Peserta perempuan di dalam kumpulan saya tidak banyak bercakap berbanding peserta lelaki. Walaupun ada di antara kami yang mempunya jarak usia yang agak jauh, namun saya telah menganggap mereka seperti adik-adik yang harus saya bimbing.LDK yang terakhir iaitu pada malam Sabtu, mereka bertanya umur sebenar saya, dan memandangkan itu merupakan LDK terakhir saya memberitahu perkara sebenar.Kelihatan ada yang geram, ketawa dan ada yang saling berbisik, mereka mungkin tidak menyangka kakak fasi mereka ini lebih muda daripada mereka.Usia bukan persoalan, yang penting saya berjaya menyampaikan apa yang patut kepada mereka
Mesej-mesej nasihat yang saya hantar kepada mereka selepas program dibalas dengan ucapan terima kasih dan saling bertanya khabar.
Memang rutin setiap program pasti adik-adik akan menghantar mesej.Proses follow-up kadang-kadang agak memenatkan kerana tidak henti-henti menghantar mesej.Segan apabila ada adik-adik yang membuat panggilan.Terpulang pada diri kita, kerana amar makruf nahi mungkar bukan sekadar sewaktu program sahaja.Sedih melihatkan belia kita pada hari ini.Saya gembira dengan adanya program seumpama ini.Masyarakat seperti inilah yang harus kita dekati, kerana merekalah pewaris generasi yang akan datang.Yang membawa Islam kembali seperti dahulu.Andai mereka tidak dibimbing hancurlah generasi muda, lebih-lebih lagi belia Islam.
Melihatkan kepada pertelingkahan sesama jemaah, menimbulkan rasa sedih yang amat sangat kerana mereka mampu berfikir dengan lebih baik.Andai soal jemaah dipertikaikan dan terus dipersoalkan, gerak kerja dakwah ke setiap lapisan masyarakat pasti kan terbantut.Ramai lagi anak-anak muda di luar sana yang memerlukan bimbingan.Peranan kita sebagai seorang yang mempunyai kesedaran, tarbiyah dan kudrat inilah yang sangat-sangat diperlukan.
Slot-slot ceramah yang saya juga turut serta sangat menarik, antara penceramah yang saya ingat ialah Ustaz Hanafiah yang saya kira hebat dalam menangani isu gejala sosial remaja kini, kalau anda pembaca buku Mastika pasti anda akan tahu.Jasanya dalam masyarakat sangat saya kagumi.Dan yang paling seronok dan memberi inspirasi ialah ceramah daripada SMART Consultant oleh Prof. Anuar..Sudah lupa nama penuhnya.Unsur-unsur jenaka yang diselang selikan sangat mencuit hati para fasilitator dan para peserta.
Tazkirah Maghrib daripada saudara Abu Qassim berjaya menarik minat para peserta program.Banyak ilmu yang saya dapat daripada tazkirah yang beliau sampaikan.Syukran.Dan sesi tazkirah Subuh daripada Saudara Jufitri Joha banyak menekankan aspek ilmu dalam membentuk generasi muda kita yakni generasi Islam.
Saya ditugaskan untuk mengendalikan adik-adik non-Muslim (sebaya dengan saya dan ada yang lagi tua) selepas Maghrib.Usai solat Maghrib berjemaah di surau saya segera melangkah ke auditorium untuk berjumpa dengan mereka, waktu yang saya janjikan untuk hadir ke sana ialah pada pukul 8.10 pm mereka sudah pun berada di dalam auditorium sewaktu saya datang. Sesi taaruf dimulakan dengan bertanyakan nama, umur, asal, adik beradik dan tempat belajar mereka.Seronok sekali mereka berkongsi pengalaman.Saya tidak kekok untuk bersembang-sembang dengan mereka.Kerana sebelum ini sewaktu bersekolah Convent dahulu saya mempunyai ramai kawan Cina dan India.
Dahulu satu kelas hanya ada 6 orang Melayu sahaja.Majoriti Cina dan selebihnya India.Saya banyak menyentuh tentang peranan mereka di dalam masyarakat dan mereka sememangnya mempunya keinginan yang mendalam untuk membantu masyarakat apabila melihatkan ramai belia yang hancur masa depannya akibat terlalu mengikut gerak hati.Kepada Komala, wani, Nora (Sarawak), Puspha,Tan dan Sashi terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman.Dan saya sendiri tidak ketinggalan untuk berkongsi pengalaman sepanjang keterlibatan di dalam aktiviti kemasyarakatan dan mereka banyak bertanya.Masuk sahaja waktu solat Isyak, saya mohon untuk mengundurkan diri dan mereka faham.Mengikut cerita adik saya yang mengendalikan mereka selepas Subuh, ada di antara mereka yang ingin masuk Islam.Untuk pengetahuan sahabat2, ILP mempunyai peraturan yang agak ketat dan islamik.Tidak mustahil ada yang ingin memeluk Islam.Syabas saya ucapkan kepada Pengarah ILP kerana berjaya menyemai nilai-nilai Islam di dalam jiwa penuntut-penuntut ILP ini termasuklah yang bukan Islam.Syukur Alhamdulillah.Moga Allah memberi mereka hidayah.
Pendek kata, program ini merupakan sesuatu yang baru bagi saya.Benarlah pengalaman itu merupakan guru yang terbaik.Namun program tidak berkuasa untuk mengubah mereka manjadi insan seperti yang kita dan ibu bapa mereka inginkan, namun hanya mampu menimbulkan kesedaran kepada mereka.Kadang-kadang, mungkin apa yang kita sampaikan, mereka sekadar mendengar dan tidak disimpan rapi di ingatan, mungkin juga masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Ini semua merupakan kemungkinan yang berlaku.Jika mereka berubah selepas program, syukur setinggi-tinggi syukur saya panjatkan pada Ilahi.
Manusia sememangnya tidak sempurna.Ada sahaja kesilapan yang kita lakukan.Muhasabah diri itu yang penting.Berusahalah kita sesama jemaah untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w.Hentikan segala sikap yang kurang enak untuk kita dengar dan terus melangkah ke hadapan demi melahirkan tamadun ummat terbaik.Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada senior-senior yang terlibat sepanjang program tidak lupa juga kepada ABIM Negeri Sembilan, kerana tanpa mereka dan tanpa izinNya jua saya tidak akan berada bersama adik-adik.Syukran jiddan.
Jumpa lagi di program yang akan datang.InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment