Monday, April 14, 2008

Memori Kampung Rantau

Pada 8-12 Mac 2008 baru-baru ini, saya mengikuti program jalinan kasih kali ke-3 di Kampung Rantau yang terletak di Cameron Highlands. Program ini dianjurkan oleh Kelab Perkim, CFS IIUM. Sememangnya saya ternanti-nanti untuk menjejakkan kaki ke kampung tersebut dan berjumpa dengan komuniti orang asli di sana. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilhai, segalanya berjalan dengan lancar dan perjalanan kami yang sememangnya penuh dengan kenangan yang sukar saya lupai. Seramai 40 orang peserta termasuk barang-barang yang kami bawa dari pusat asasi "disumbat" ke dalam trak. Bayangkan kami terpaksa berhimpit-himpit di dalam trak dan terasa seperti dalam tin sardin(penah ke rasa??hehe) sepanjang perjalanan selama 1 jam..(tak pasti). Keadaan sebegini membuatkan saya kurang selesa dengan keadaan diri yang kurang sihat dan pergerakan agak terbatas kerana terpaksa berhimpit antara satu sama lain dan beg menjadi jarak pemisah antara lelaki dan perempuan.




Sebahagian anak-anak orang asli di Kampung Rantau



Akhirnya kami tiba juga di Kampung Rantau. Saya cukup gembira dapat melihat sendiri keadaan di sana. Cuaca pada waktu pagi yang sejuk sebelum itu semakin hilang dek sinaran mentari yang kian memancarkan cahayanya. Setelah mengangkat semua barang kami di pihak sisters memulakan kerja-kerja memasak untuk makan tengahari. Objektif utama kedatangan kami ke sana adalah untuk berdakwah dan tidak lupa juga membantu mereka membina surau. Komuniti orang asli yang beragama Islam di sana tidaklah terlalu ramai dan mereka sememangnya memerlukan sokongan dari orang-orang Islam sendiri. Alhamdulillah, saya difahamkan ada seorang ustaz yang mengajar di kampung tersebut.

Dari kiri: Hasna, Respakin, Mak Cik Suli, Penulis

Saya gembira melihat semangat Kak Nor yang merupakan salah seorang penduduk di Kampung tersebut. Dia menyatakan kegembiraannya apabila kami datang beramai-ramai dan mengajar mereka mengaji, solat dan tidak lupa juga memberi mereka tunjuk ajar tentang masalah-masalah wanita dan memberi penekanan tentang bab aurat. Mereka baru setahun jagung dalam agama Allah yang mulia ini, tugas kita untuk mendidik mereka dan menyampaikan kebenaran. Seringkali kita terlepas pandang akan orang-orang yang tinggal di kawasan pedalaman sedangkan kawasan inilah yang perlu kita masuk dan seterusnya menyampaikan mesej Islam. Peserta lelaki membantu penduduk di sana mencari kayu-kayu untuk tujuan pembinaan surau. Saya pasti segala penat lelah mereka akan terbayar di akhirat kelak. Biarlah mereka merasa kesusahan orang asli tersebut kerana jarang sekali mereka dapat merasai kehidupan yang susah sebegini..tak begitu???Inilah yang dinamakan pengalaman. Saya agak risau apabila peserta lelaki tidak pulang-pulang ke kampung walaupun waktu solat maghrib sudah menghampiri. Mungkin terlalu seronok mencari kayu di hutan..hehe...Keletihan yang terpancar di wajah mereka membuatkan kami bertambah rasa kasihan dan mereka agak kelaparan, maklumlah sehari suntuk tak menjamah nasi...


Pemakanan orang asli sangat berlainan dengan kita. Nek Aleh ada memberitahu saya bahawa mereka hanya minum teh pada waktu pagi, dan kemudian masak pada pukul 12 tengahari. Pada waktu malam pula mereka minum teh dan teh yang mereka minum tanpa gula!Jarang sekali mereka dapat merasa makanan yang enak-enak berbanding dengan kita yang boleh dikatakan hari-hari menjamah nasi. Bersyukurlah kita dengan nikmat yang diberi. Pada waktu tersebut bukan musim ubi jadi saya tidak berkesempatan melihat mereka memakan ubi dan hanya mendengar cerita mereka sahaja. Cuaca pada waktu malam sangat sejuk begitu juga pada waktu pagi. Saya ada membawa sleeping bag tetapi tiada gunanya kerana sejuknya menusuk hingga ke tulang. Saya sendiri memang tidak tahan dengan cuaca sejuk. Puas juga menahan sejuk sampai saya sediri berasa sedang berada di negara beriklim sejuk dan tidak sabar menunggu waktu siang. Tiduyang tidak lena membuatkan kepala agak pening tetapi semua sakit hilang apabila bermain dengan linda, anak kepada kak nor yang berusia 2 tahun.


Saya dan seorang lagi sahabat tidak melepaskan peluang menjenguk nek timah yang tidak sihat. Kami membacakan kepadanya ayat al-quran dengan terjemahannya sekali. Begitu khusyuk dia mendengar bacaan daripada kami dan kami sempat menceritakan kepadanya tentang keindahan agama Allah dan nek timah sangat bersyukur mendapat nikmat Islam dan saya terharu apabila dia bekata bahawa dia ingin masuk syurga...Sama-sama kita doakan dia...



Saya dan sahabat-sahabat lain sempat juga mempelajari bahasa semai dari nek timah dan kak nor dan tidak kerng gusi dibuatnya. Mana tidaknya, bahasa semai agak susah untuk diingati dan agak pelik bunyinya..huhu...memang seronok dan mereka juga tergelak melihat kami yang tak henti-henti bertanya itu dan ini. Anak-anak orang asli di sana agak lasak dan mempunyai daya tahan yang kuat. Mereka sangat comel dan bijak-bijak...teringat pula saya pada suhail, tokedi(tak pasti ejaan), aiman, muna, respakin, linda dan anak-anak yang lain. Pengalaman bersama mereka takkan saya lupa sampai bila-bila..InsyaAllah jika ada rezeki akan saya jejakkan kaki ke sana lagi...Kesihatan mereka kurang memuaskan, seperti yang dijangkakan. Terdapat banyak kudis di kulit tangan, kaki dan kepala mereka. Saya juga difahamkan oleh kak nor bahawa mereka ada menerima suntikan daripada doktor yang datang ke kampung tersebut.. Alhamdulillah, masih ada lagi insan yang prihatin...syukurlah...


Pengalaman yang dirasai cukup manis dan pahit ialah pada waktu kami ingin pulang. Trak yang kami naik tiba-tiba berundur ke belakang. Saya hanya mampu melihat dan agak terkedu dengan keadaan tersebut. Kemudian trak tersebut terbabas sedikit di tepi jalan. Mujur tiada yang cedera walaupun keadaan agak mencemaskan. Seperti terlepas maut..Alhamdulillah, Allah masih lagi panjangkan usia saya dan sahabat-sahabat. Mungkin ini suatu tanda dariNya...sama-sama kita muhasabah diri, mungkin ada kesilapan yang dibuat sepanjang program.. Wallahulam, sentiasalah kita bersangka baik dengan Allah...


Banyak yang ingin saya luahkan tetapi tak terluah rasanya. Mungkin setakat ini sahaja yang ingin saya kongsi. Pengalaman berdakwah di kampung orang asli memang sangat menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat mereka solat dan mengaji. Moga Allah memelihara penduduk kampung rantau dan memberi mereka hidayah. Masa yang digunakan bersama mereka tidak sia-sia dan moga Allah berkati kehidupan orang-orang islam di sana. Teruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah sehingga ke liang lahad!!!Kampung Rantau nantikan kehadiran saya dan kenangan bersama nek aleh, nek timah, kak nor, kak raihan dan lain-lain takkan saya lupa!

No comments: