Wednesday, April 2, 2008
Imam Muda
Pada 21-24 Mac 2008 yang lepas saya telah menghadiri program Latihan Imam Muda anjuran Unit Gerakan dan Operasi, Sukarelawan Al-Falah, Yayasan Dakwah dan Islamiah Malaysia ( YADIM). Syukur padaNya kerana dengan izinnya saya dapat menghadiri program tersebut tanpa ada halangan, biasalah cuti-cuti begini ada sahaja benda yang mendatang. Itulah dugaan namanya. Banyak ilmu yang ditimba sepanjang 4 hari 3 malam berada di sana. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, program tersebut diadakan di Excel Training Resort, Nilai, Negeri Sembilan dan disertai oleh pelajar-pelajar dari Pusat Asasi UIA, PJ dan juga SMK Seksyen 18, Shah Alam. Sepanjang perjalanan ke sana, diri tertanya-tanya bagaimana cara program ini dikendalikan dan hati ini tidak sabar-sabar untuk sampai ke sana di samping melepaskan kerinduan pada sahabat-sahabat.Agak lucu juga cara saya ke sana, kerana saya ke sana berpandukan peta yang diberi oleh PIC program tersebut. Pak Cu yang bertanggungjawab untuk menghantar saya ke sana kerana mak dan abah bekerja. Alhamdulillah setelah melalui jalan-jalan yang saya kira agak pelik akhirnya samapai jua ke destinasi yang saya tunggu-tunggu. Sebaik sahaja bersalaman dengan pak cu dan mengucapkan terima kasih padanya saya berlegar-legar di kawasan resort tersebut. Tidak jauh dari tempatku berdiri, kelihatan seorang lelaki yang agak sasa badannya seakan-akan menuju ke arah saya, lantas saya memalingkan susuk tubuh. Tiba-tiba saya disapa dengan ucapan "Assalamulaikum". Saya menjawab salam lelaki tersebut. Lagaknya seperti pekerja resort tersebut. Dia bertanyakan saya dari mana lantas saya mengatakan bahawa saya dari UIA. Dia tersenyum lalu menunjukkan saya jalan ke bilik. Tidak lama kemudian, muncul kelibat kak ira. Alhamdulillah, hati melonjak riang saat bertemu dengannya. Tanpa dia tak mungkin saya menyertai program ini.Program yang berlangsung pada jam 3 petang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berehat memandangkan masih terlalu awal dan terasa kepenatan pada diri. Setelah berkenal-kenalan dengan roommates yang kebanyakannya dari UIA, saya meluangkan masa yang ada bersama sahabat-sahabat yang saya kira agak lama tak bertemu ( baru 2 hari..hehe). Selepas menyiapkan kendiri, kami menuju ke dewan. Taklimat daripada Ustazah Masitah selaku pengurus program disusuli dengan sesi taaruf. Pada awalnya, hati berbisik " peserta seramai 92 orang mesti lama nak taaruf", sesi taaruf yang mengambil masa sejam itu diiringi dengan gelak ketawa. Pelbagai aksi lucu adik-adik membuatkan kami semua ketawa.Objektif program ini diadakan adalah untuk menggilap peranan imam dan bilal di kalangan anggota sukarelawan Al-Falah dan menerapkan ilmu yang bermanfaat untuk masyarakat agar lebih bertanggungjawab pada agama. Secara tidak langsung saya telah pun selamat menjadi sebahagian daripada keluarga Sukarelawan Al-Falah setelah mengisi borang yang diedarkan..huhu.Sepanjang 4 hari 3 malam berada di sana banyak ilmu yang ditimba. Terus saya tanamkan dalam hati, apabila balik nanti nak buat bengkel solat untuk adik-adik...Ya InsyaAllah saya akan adakan bengkel tersebut hujung minggu ini. Telah ku khabarkan pada adik-adikku. Jujur saya katakan program ini memberi erti yang sangat mendalam terhadap diri saya sendiri. Hanya Allah yang tahu dan setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan padaNya. Pelbagai aspek yang disentuh sepanjang program antaranya konsep solat berjemaah, pengurusan jenazah dan tanggungjawab kita, wudhuk dan tayammum. Program ini lebih menekankan bab solat terutama sekali solat secara berjemaah. Solat merupakan basic yakni tiang agama dan solatlah yang mencerminkan peribadi seseorang muslim itu sendiri. Jika baik solatnya maka baiklah akhlaknya.Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya:" Solat berjemaah adalah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat"Sebagai seorang Muslim sudah tentu kita akan merasa berkobar-kobar untuk menunaikan solat secara berjemaah lebih-lebih lagi setelah mengetahui kelebihannya di samping niat untuk mendapatkan keredhaan Allah.Jamaah itu sendiri merupakan hubungan yang terhasil daripada solat antara imam dan makmum.Pensyariatan solat berjemaah sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa ayat 102:"Dan apabila engkau ( wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang) lalu engkau mendirikan solatdengan (menjadi imam) mereka, hendak segolongan daripa mereka berdiri (solat) bersama-samamu"Runtuhnya akhlak remaja masa kini disebabkan oleh solatnya. Segala perbuatan yang dizahirkan berpunca dari solat mereka. Adakah sekadar solat sampai ada perkataan yang terkeluar daripada mulut mereka seperti ini.."Alah,asalkan aku solat okay la tue"...Nauzubillah...Sikap seperti inilah yang bisa menjauhkan kita dari Sang Pencipta. Sedarlah kita bahawa solatlah yang menentukan arah hidup kita dan saya menyeru supaya kita menjaga solat dan elakkan dari solat di akhir waktu. Siapalah kita sehingga membuatkan Allah menunggu kita. Janganlah kita menjadi hambaNya yang tidak bersyukur dengan nikmat iman dan islam yang dikurnia Allah. Sekiranya seseorang itu tidak bersyukur dengan yang sedikit sudah tentu dia tidak bersyukur dengan yang banyak.Hati makin sayu tatkala terkenang akan kawan-kawan di luar sana yang masih tidak faham dan kurang pengetahuan tentang bab solat. Ya, sayalah yang bertanggungjawab untuk membantu mereka. Program ini banyak membuatkan saya menitiskan air mata lantas membuatkan saya berfikir banyak kali dan tidak kurang juga menimbulkan perasaan benci pada insan-insan yang menjadikan nasib saudara kita yang lain bertukar menjadi malang. Ustaz menyentuh hati-hati peserta dengan menayangkan video tentang nasib-nasib saudara kita di Acheh dan juga di Palestin. Seringkali ku panjatkan doa pada Ilahi agar melindungi umat Islam di sana dan di seluruh dunia. Moga mereka mati syahid dan ditempatkan di Syurga Firdausi. Ameen...Perjuangan mereka bukanlah sia-sia kerana perjuangan mereka demi Islam tercinta.Hari terakhir program diserikan dengan persembahan sketsa dan disusuli dengan nasyid daripada peserta lelaki. Seronokdan geli hati melihat persembahan mereka. Kemudian kami sama-sama berzikir dan menyanyikan lagu Sukarelawan Al-Falah. Air mata mengalir dengan deras tatkala bersalam-salaman dengan sahabat-sahabat dan pengurus program sambil berselawat ke atas Nabi tercinta. Indahnya ukhwah bertemankan jiwa yang berizzah. Sahabat-sahabat menuju ke haluan masing-masing selepas ini. Doa mengiringi moga sahabat-sahabat berjaya dunia akhirat dan moga ukhwah ini kekal selamanya. Ukhwah fillah itu kekal, InsyaAllah. Saya tidak bersama-sama dengan mereka naik bas menuju ke UIA tetapi terus pulang ke rumah bersama dengan athirah, sahabatku yang banyak pekara suka dan duka yang dikongsi bersama. Berakhirnya program bukan bermakna berakhir segala semangat dan azam yang lahir dari diri ini. Moga Allah beri kekuatan pada diri untuk terus melaksanakan niat yang terdetik di hati ini. Akhir kalam, saya menyeru sahabat-sahabat membantu kawan-kawan kita di luar sana dalam menyempurnakan solat , bukan sahaja kawan-kawan malah ahli keluarga sendiri dan itulah yang paling penting. Wallahualam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment