Kalau kita melihat perkembangan hari ini, masyarakat kita sudah jauh daripada agama. Dan, sifat menjauhi agama ini adalah sikap orang-orang yang suka menjauhi akhirat. Sedangkan kewujudan akhirat itu adalah suatu kepastian.
Menjauhi akhirat ertinya kita seperti berusaha mengelak menemui kematian. Kematian menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Dalam kes terbaru, Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail telah dijemput oleh Allah s.w.t ketika beliau sedang bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, berhampiran Genting Highland.
Mati mengejut secara tiba-tiba ini sepatutnya meresahkan kita kerana kita mungkin terheret dalam kancah kematian tanpa memiliki sebarang persediaan untuk menemui Tuhan.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah bersabda bahawa orang yang pintar dan bijaksana itu ialah mereka yang selalu berfikir mengenai kematian. Mengapakah mereka yang kerap mengingati mati itu dinilai dan diperhitungkan sebagai manusia yang bijaksana? Ini kerana, mereka selalu berasa resah, gelisah, khuatir dan bimbang kalau-kalau amalan mereka masih tak mencukupi untuk dibawa pulang ke akhirat.
Tambah merisaukan mereka, jika amalan itu dibungkus oleh pakaian ujub, riak, sum'ah dan tidak ikhlas mengerjakan amalan itu kerana Allah. Kekhuatiran yang semacam inilah yang akhirnya menyebabkan seseorang itu terdorong pula untuk berdoa meminta keampunan dan beristighfar semoga amalan mereka itu diberikan pakaian ikhlas oleh Allah s.w.t.
Mengingatkan rakyat mengenai kematian adalah sunnah nabi dalam pemerintahan Berdasarkan hadis di atas yang menyingkap perihal sunnah, maka kita melihat bagaimana pemimpin terdahulu seperti baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda Khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyyin kerap mengingatkan rakyat berhubung kematian dan alam barzakh.
Maka, tindakan mengingatkan rakyat berhubung kematian dan segala persiapan untuk menempuh ke alam barzakh ini, termasuk dalam sunnah-sunnah nabi dan para sahabat baginda dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan mereka dalam pentadbiran Islam.
Pemerintahan Islam bukan sekadar memperihalkan hal urusan dunia.
Bahkan, hal yang menyangkut membangunkan kesedaran untuk membangunkan persiapan ke akhirat adalah termasuk dalam urusan pemerintahan Islam juga. Antara kisah termasyhur adalah kisah Umar r.a melihat umat Islam zaman beliau yang kurang dalam mengingati mati.
Maka, suatu hari Umar perintahkan umat Islam datang ke masjid dan mereka langsung disoal dengan soalan-soalan di dalam kubur. Diringkaskan cerita, semua umat Islam mula terkesan dengan latihan dan tarbiyah seumpama itu. Maka meningkatlah amalan mereka kerana terkesan dengan corak latihan tarbiyyah dari Umar itu. Maka, inilah sunnah Umar yang wajar diikuti.
Umar juga berkata, ajarkanlah anak-anak kalian dengan ilmu pengetahuan semasa dan terkini. Jika Umar masih hidup lagi pada zaman kita dan beliau melihat perkembangan teknologi seperti Imej Janaan Komputer (CGI) dan lain-lain teknologi yang kreatif dalam usaha membangunkan kesedaran untuk mengingatkan rakyat berhubung kematian, nescaya Umar akan guna semua peralatan itu untuk tujuan membangunkan kesedaran betapa perlunya persiapan menempuh akhirat.
Tiada salahnya pemerintah berkreatif mengingatkan rakyat atau rakyat mengingatkan pemerintah mengenai persiapan untuk menempuh kematian.
Menteri Besar Kelantan melalui kuliah dan tazkirahnya, segala ceramahnya itu telah dibukukan dan kebanyakan rakaman itu berkisarkan soal hidup selepas kematian di padang mahsyar. Ini adalah teknologi buku-buku dan kitab-kitab.
Di Kampung Tok Selehor, seorang ulamak terkenal yang hidup sezaman dengan Tok Kenali, iaitu Tok Selehor telah mengguna teknologi tersendiri, iaitu membina lubang kubur yang mana dia sendiri masuk ke dalamnya untuk mengingatkan dirinya tentang kematian.
Teknologi, laluan lebuh raya bahasa, lapangan sastera untuk ingat kematianTiada salahnya menggunakan peralatan teknologi terkini dalam usaha mengingatkan orang-ramai mengenai kematian. Ada juga yang menggunakan jalan sastera seperti Sajak Kematian. Jadi, hal ini merupakan lebuh raya dan landasan yang boleh diterima juga untuk mengingatkan rakyat mengenai kematian.
Mengapakah Menteri Pelajaran sanggup menafikan semua kebijaksanaan teknologi ini? Kalau beliau mahu haramkan, maka dia perlu berikan alternatif lain tentang cara-cara menghidupkan ghairah kaum pelajar dalam mengingati mati. Dia tak boleh haramkan begitu sahaja, melainkan beliau mesti memberikan jalan alternatif lain, sebab ini semua adalah kewajipan dari pihak pemerintah untuk mengingatkan rakyat mengenai kematian.
Sesungguhnya, pemergian Datuk Razali Ismail dan ucapan sebak dan tangisan teresak-esak Hishamuddin ketika melontarkan respon mengenai pemergian pembantu beliau itu seharusnya menyedarkannya bahawa hal mengingati mati ini adalah satu hal yang tidak boleh dipandang remeh memandangkan hal ini termasuk dalam sunnah pemerintahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Lebih-lebih lagi, Hishammuddin adalah Menteri Pelajaran.
Ajarlah generasi muda mengingati mati. Atau, kalau dalam nama asalnya Menteri Pendidikan (ini yang lebih tepat), maka didiklah, asuhlah, adabkanlah pelajar-pelajar sekolah agar selalu cenderung mengingati mati dan secara tidak langsung mereka akan terdorong membanyakkan amalan dan selalu melatih diri agar bersifat ikhlas dalam beramal.
No comments:
Post a Comment