Thursday, November 20, 2008

Zainab Al-Ghazali

Beliau merupakan tulang belakang kepada gerakan Islam muslimat di dunia Arab merentasi beberapa buah negara Arab dan Islam sepanjang kerjaya sebagai pendakwah Islam sepenuh masa.

Baliau yang dilahirkan pada 2 Januari 1917 di sebuah perkampungan di wilayah al-Buhairah (utara kota Kaherah), daripada keluarga yang berpegang kuat kepada ajaran Islam, kerana bapanya adalah salah seorang ulama’ al-Azhar yang cukup berpengaruh.

Bapanya yang bertanggungjawab mentarbiahnya dengan ilmu-ilmu agama dan sentiasa berpegang kepada kebenaran, sehingga beliau dipanggil oleh bapanya dengan panggilan Nusaibah Binti Kaab iaitu salah seorang Sahabat wanita di zaman Rasulullah s.a.w.

Selepas kematian bapanya ketika berusia 10 tahun, beliau dibawa ibu dan saudaranya berpindah ke Kaherah bagi meneruskan pengajiannya di situ. Sebagai seorang yang aktif dalam bidang kemasyarakatan, beliau menganggotai sebuah pertubuhan wanita liberal yang dipimpin oleh Huda Syaarawi.

Pandangan pertubuhan berkenaan, sering mendapat kritikan hebat daripada para ‘ulama al-Azhar kerana dikatakan tidak selari dengan Islam walaupun sering mengadakan forum antara kedua-dua belah pihak.

Pandangan serong pertubuhan itu yang disifatkan amat merbahaya kepada umat Islam, akhirnya melarang mana-mana wakilnya menyampaikan ceramah dan sebagainya.

Kesedaran kepada Islam menyerlah dalam diri

Selepas sekian lama beliau menderita kerana sakit kronik yang boleh menyebabkan kematian, ketika itu beliau bersumpah jika Allah menyembuhkan penyakitnya, beliau berjanji akan meninggalkan pertubuhan wanita yang songsang itu, dan akan menubuhkan satu pertubuhan muslimat yang menumpukan perhatian kepada penyebaran dakwah Islam.

Penyakitnya semakin sembuh, dan beliau mengotakan janjinya untuk menubuhkan pertubuhan muslimat dengan jayanya pada tahun 1936 khusus buat kaum Hawa di seluruh Mesir.

Dari masa ke semasa, pertubuhan muslimat yang diasaskannya telah mengadakan hubungan dengan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun pimpinan al-Marhum Syeikh Hasan al-Banna iaitu pada tahun 1948 sebelum beliau mati ditembak.

Sepanjang pengenalan beliau dengan Syeikh Hasan, dia mencadangkan agar pertubuhan muslimat itu menjadi anggota sayap gerakan al-Ikhwan khusus bagi muslimat dan beliau diminta menerajuinya.

Gerakan al-Ikhwan menerima pelbagai mehnah dan tribulasi hingga ramai di kalangan pimpinannya ditangkap atas arahan Perdana Menteri ketika itu, Mustafa an-Nuhhas, al-Marhumah telah memainkan peranan penting untuk menghubungi isteri-isteri pimpinan yang ditangkap dan membantu mereka dengan bantuan yang diperlukan.

Tekanan demi tekanan yang diterima, hingga beliau diminta oleh Presiden Jamal Abdel Nasir pada ketika itu agar memimpin sayap wanita Parti Sosialis, tetapi beliau menolaknya dengan keras.

Keengganannya untuk menyertai wanita parti pemerintah telah menyebabkan Presiden Jamal mengeluarkan arahan agar pertubuhan muslimat pimpinan beliau dibekukan, segala bahan penerbitannya dihentikan .

Beliau kemudiannya ditangkap pada Ogos 1965 dan dipenjarakan selama enam tahun dengan pelbagai ujian dan tribulasi.

Beliau ceritakan semuanya dalam bukunya “Aiyam min hayati” yang bermaksud hari-hari dalam hidupku yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh al-Marhum Ustaz Mohammad Tahir Daeng Mengati.

Dengan perantaraan dan campur tangan bekas Raja Arab Saudi, Raja Faisal Abdel Aziz, beliau telah dibebaskan di zaman pemerintahan Presiden Anwar Sadat pada Ogos 1971.

Penyebaran Dakwah Islam

Setelah beliau dibebaskan, beliau memperlihatkan kesungguhannya dalam bidang dakwah hingga membuatnya terpanggil menyebarkan Islam bukan sahaja dalam negara asalnya Mesir, malah ke beberapa buah negara Arab dan Islam.

Beliau juga dikatakan amat aktif dalam bidang penulisan yang dikaitkannya dengan dakwah.

Pada pertengahan tahun lapan puluhan, beliau serta beberapa rombongan muslimat al-Ikhwan telah mengadakan lawatan ke Afghanistan ketika perang sedang berlangsung menghadapi kuasa besar Soviet Union beberapa kali..

Beliau bukan sahaja giat berdakwah dengan lisan menerusi ceramah, pidato, forom dan sebagainya, malah aktif menulis beberapa buah kitab.

Antaranya “Nahwa Baa’tahun Jadid” iaitu Kea rah kebangkitan era baru dan “Nazarat fi Kitabillah” iaitu beberapa renungan terhadap kitab Allah.

Beliau berpendapat, bahawa masa depan kepada perkembangan dunia Islam perlu dijana menerusi program muslimat, kerana jatuh bangun sesuatu kebangkitan bermula dengan wanita/muslimat.


Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 3 Ogos 2005 dalam usia 88 tahun setelah bergelumang dalam bidang dakwah selama 53 tahun bersama dengan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun, Mesir.

No comments: