“Dik, akak teringin pakai tudung labuh macam adik”
“Tapi entah bila…”
“Tak semestinya akak kena pakai tudung labuh, yang penting menutupi dada”
“Ha’ah la dik, tengokla skang ni seksi akak kan”…
Ini merupakan sedikit perbualan antara saya dan kak aida sepanjang perjalanan kami ke Seremban. Saya sempat mengambil nombor telefonnya dengan niat untuk menerangkan kepadanya dengan lebih lanjut mengenai permasalahan-permasalahan yang kami bincangkan semasa di dalam bas. Saya memulakan perbualan dengannya, dia nampak seperti teragak-agak, namun akhirnya kami menjadi lebih mesra setelah berbual banyak perkara.
Dia menyatakan hasratnya untuk bertudung labuh, namun saya sempat menerangkan kepadanya bahawa bertudung labuh tidak semestinya perlu terlalu labuh, asalkan menutup dada seperti firman Allah di dalam surah An-Nur ayat 31:
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumurnya (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki, atau pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita…”
Dia sendiri mengaku bahawa, bajunya terlalu seksi dan dia pernah disindir banyak kali oleh anak saudaranya kerana bajunya kecil seperti baju adik.Saya hanya tergelak apabila dia bercerita mengenai perkara tersebut. Saya memberitahunya bahawa dia tidak sepatutnya bertangguh andai mahu berubah ke arah yang lebih baik kerana kita tidak tahu bila ajal kita, dia hanya mengiakan dan mengatakan bahawa dia sendiri tidak tahu bila dia akan berubah. Saya sempat berseloroh dengan mengatakan mungkin selepas kahwin dia akan berubah, memandangkan dia bakal berkahwin tidak lama lagi.InsyaAllah.
Teringat pula diri sewaktu Program RAFEST di pusat asasi dahulu. Ditakdirkan Allah, PERKIM mengadakan “Aurah Campaign”. Saya, kak ira dan Anip ditugaskan untuk membuat video mengenai aurat, dan kami telah ke keluar untuk membuat shooting. Video tersebut memaparkan seorang pelajar perempuan UIA (bukan orang sebenar) yang ke pusat membeli belah dengan berbaju kurung kemudian menukar pakaiannya sebaik sahaja sampai di pusat membeli-belah. Semasa pameran, ada seorang sister yang berasa terkejut apabila mengetahui cara bertudung yang sepatutnya selepas saya menunjukkan dalil-dalil daripada Al-Quran. Alhamdulillah syukur.
Kesimpulannya, kita perlu mencari ilmu dan bukannya menunggu ilmu datang bergolek begitu sahaja lebih-lebih lagi di dalam soal agama. Inilah realiti, masih ada yang tidak tahu cara pemakaian tudung yang sebenar dan tidak kurang juga ada yang buat tidak tahu. Bagi mereka yang berangan-angan ingin memakai tudung labuh, silakan dengan niat yang baik itu, Cuma nasihat dari saya biarlah kita bertudung atau dengan lebih tepat lagi menutup aurat kerana Allah dan bukan kerana sesiapa. Allah tidak memandang hambaNya dengan paras rupa atau harta tetapi pada hati kita. Baik dalaman kita, insyaAllah luaran juga akan baik. Sebagai muslimah, adab dan kelakuan harus dijaga setiap masa dan yang paling penting kita perlu sama-sama bantu sahabat-sahabat kita yang tidak tahu dalam soal aurat ini. Walaupun mereka belajar di sebuah univesiti Islam, namun hakikatnya masih ada yang tidak tahu.Sedih bukan? Tanggungjawab tergalas di bahu insan yang sudah mengerti, jadi tunggu apa lagi?
Berhenti berkelompok dan cuba merapati dan menyelami hati muslimah yang tidak sefikrah dengan kita. Sedih juga apabila melihat kawan-kawan kita di luar sana terutamanya yang perempuan, yang menepati sabda Rasulullah s.a.w:
“Akan terdapat pada akhir-akhir umatku (kaum wanita) yang berpakaian menutup badan dan telanjang (yang berpakaian nipis atau membayangkan kulit badan/bentuknya), atas kepala mereka, laknatilah mereka sesungguhnya mereka golongan yang terlaknat"
Sememangnya perempuan begitu senang untuk memasuki syurga atau neraka. Taat pada suami, ibu bapa, Allah dan Rasul dan menjaga puasanya, insyaAllah syurga tempatnya. Indah bukan?Bagi isteri-isteri redha suamilah yang didambakan.Bagi yang belum berkahwin taatilah Allah dan Rasul, ibu bapa dan tidak lupa untuk menjaga amalan-amalan seharian kita.
Buat kawan-kawan yang masih merasakan cara anda berpakaian masih tidak betul, rujuklah pada sahabat-sahabat atau ustazah atau sesiapa jua yang dapat membantu anda. Masih punya masa untuk melakukan perubahan, Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya, kerap kali hamba melakukan dosa, kerap itu juga Dia mengampunkan. Sayang sungguh Allah pada hamba-hambaNya!
“Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”
(Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir)
No comments:
Post a Comment