Wednesday, July 22, 2009

Dari hati ke hati

Alhamdulillah wa syukurillah,

Masih lagi dikurniakan nikmat iman, Islam dan pancaindera yang sempurna dalam meniti kehidupan sebagai seorang hamba dan khalifah di muka BumiNya.Nikmat terbesar adalah dapat bertemu dengan Sang Pencipta.Bisakah?Semuanya bergantung pada amalan kita yang sudah tentu perlu disulami dengan keikhlasan dan tidak lupa juga rahmat dari Allah s.w.t kerana tanpa rahmat dariNya kita laksana rumah yang terbiar tanpa penjaga.Erm, nampaknya sudah seminggu lebih semester baru ini berlalu dan kesempatan untuk mengemaskini blog saya cuba untuk mencari sebaik mungkin. Memandangkan petang ini tidak ada sesi Lab bagi section saya, jadi terfikir untuk mengemaskini blog.

Sedikit perkongsian sepanjang semester baru yang telah pun berlalu hampir seminggu lebih, tetapi kenapa saya rasa macam sudah lama?huhu…Pada minggu yang pertama kelas tidak begitu penuh memandangkan kelas seperti Leadership dan sesi Laboratory masih belum bermula sepenuhnya, jadi ada jugalah masa terluang yang tidak saya sia-siakan begitu sahaja.Pensyarah-pensyarah pada semester ini kesemuanya adalah lelaki dan seorang sahaja perempuan iaitu pensyarah bagi subjek Systemic Anatomy II, Sister Zaitun. Untuk pengetahuan semua, Sister Zaitun menyudahkan Masternya di Australia selama 10 bulan sahaja, masih muda lagi dan kami pelajar-pelajarnya bagaikan adik dan interaksi dengannya menjadi sangat mudah.Sememangnya kelasnya sungguh attractive dan para pelajar menumpukan sepenuh perhatian berbanding kelas-kelas yang lain. Siapa la yang tak fokus tu???
Pada pendapat saya sendiri, tidak kisah bagaimana guru mengajar asalkan niat kita ikhlas ingin menuntut ilmu. Sebagai seorang mahasiswa, kita perlu membiasakan diri agar tidak selalu “disuap” seperti budak-budak kecil yang masih menuntut di sekolah rendah. Syukur sudah ada course outline yang diberi dan buku-buku rujukan, tinggal lagi usaha kita untuk mencari selebihnya. Agak mahal buku-bukunya, tetapi saya tidak kisah semua itu kerana semua itu adalah ilmu, nanti cucu tengok nenek dia belajar apa dulu..huhuh. Biarpun ada yang mengeluh, namun mendidik diri agar menerima guru seadanya sangat penting dan keberkatan ilmu itu yang kita dambakan. Tidak mahu tidak, kita perlu untuk memotivasi diri sebelum ke kelas dan niatkan segalanya kerana Allah. Bukan kerana orang lain atau perkara-perkara lain.Proses ta’dib (pendidikan) itu sebenarnya bermula daripada diri kita sendiri, guru hanyalah pemudah cara sahaja? Betul tak?

Teringat pula saya kuliah di SRI ABIM malam semalam. Ustaz Shafei mengatakan bahawa orang sekarang terlalu mengejar kerjaya dalam hidup hingga tidak begitu mementingkan soal amalan. Cuba kita lihat, dalam seharian berapa banyak amalan-amalan kita yang cenderung pada dunia???Tepuk dada tanyalah iman kita.Begitu yakin hidupnya masih lagi lama. Walhal mati itu bila-bila masa sahaja bakal menjelma. Kadang-kadang kita terlalu asyik dalam menuntut ilmu dunia sehingga ilmu akhirat dipandang sebelah mata sahaja. Nauzubillah min zalik. Moga Allah pelihara diri saya agar terus istiqamah dalam amalan-amalan seharian. Bimbang suatu hari nanti kita diuji dan kalah dengan ujian tersebut. Sebab itulah, doa menjadi senjata bagi orang mukmin. Kita ada Allah untuk mengadu, seboleh-bolehnya kita cuba untuk menangisi setiap dosa yang dilakukan, hatta dosa-dosa yang kecil juga kita perlu melakukan sedemikian. Tidak mahu solat kita hanya ada perasaan yang biasa tanpa ada perasaan takut akan Allah s.w.t yang menciptakan kita. Sama-sama kita cuba kerana amalan kita sahajalah yang akan kita jadikan bekalan di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (di akhirat) ialah mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang celik sepanjang malam kerana menjaga (musuh) di dalam perang fi sabilillah.”

Dalam kita sibuk belajar ilmu dunia ini, jangan kita lupa saudara seakidah kita yang bermatian-matian berjihad demi agama Allah. Jihad kita sangat berbeza dengan mereka. Doakan mereka selalu agar dikurniakan semangat jihad yang tinggi dan semoga Allah membantu perjuangan mereka. Buat sahabat-sahabat, teruskan gerak kerja dakwah kita tanpa kita abaikan pelajaran kerana dengan ilmu kita mampu merubah dunia, insyaAllah. Dalam konteks kita membantu ummat Islam terutamanya. Yakinlah, Allah sentiasa bersama dengan kita andai kita selalu mengingatiNya di saat susah dan senang. Hidup ini sudah tentu memerlukan pengorbanan. Semoga berjaya di lapangan dakwah dan pelajaran. Saya selalu mendoakan agar kita sama-sama diberi ketabahan, walaupun kadang-kadang kita berasa kurang yakin namun itu semua hanyalah hasutan syaitan yang tiada henti.
Allahu'alam

No comments: