Monday, January 4, 2010

Isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR 3 Januari 2010: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama 12 badan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini telah membuat laporan polis kerana membantah tindakan majalah Herald The Catholic Weekly, menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Laporan yang dibuat kira-kira pukul 3.00 petang di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur tersebut dibuat atas dasar kebimbangan akan wujud pihak yang menganggap institusi kehakiman sivil telah menghina Islam dengan berdasarkan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Khamis lalu.

Sementara itu, dalam laporan tersebut juga, PKPIM menuntut agar satu siasatan dijalankan ke atas pengurusan dan penganjur gereja akan motif dan agenda tersembunyi mereka menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya yang dilihat mahu melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memandangkan diketahui umum bahawa kalimah Allah hanya serasi dengan masyarakat Melayu Islam sahaja.

Dalam pada itu, antara NGO lain yang terlibat membuat laporan polis ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Belia 4B, dan sebagainya. Sebelum itu, kesemua NGO tersebut telah berkumpul di hadapan IPD Sentul kira-kira beberapa minit sebelum laporan dibuat.

Laporan disusuli dengan satu sidang media khas bagi menerangkan tujuan utama laporan ini dibuat. Dalam sidang media tersebut, kesemua NGO bersepakat untuk tetap dengan pendirian menggunakan apa jua cara yang dibenarkan undang-undang untuk terus membantah penggunaan Kalimah Allah ini oleh pihak bukan Islam. Ini memandangkan, ianya boleh mengganggu ketenteraman umat Islam dan mengakibatkan Negara menjadi kucar-kacir akibat prasangka dan perbalahan agama yang bukan mudah untuk dileraikan.

Dalam perkembangan berkaitan, NGO juga bersepakat bahawa mereka bertindak atas semangat Rukun Negara pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan di mana Tuhan itu sebagai satu istilah umum dan setiap agama di Negara ini menggunakan perkataan Tuhan sebagai kata umum.

http://www.pkpim.net/v2/info/509-kalimah-allah-pkpim-buat-laporan-polis.html

No comments: