Saturday, November 28, 2009

Coretan 11 Zulhijjah

Bismillah...

Sudah agak lama tidak menulis apa-apa di sini, istiqamah memang sukar, semuanya memerlukan mujahadah, dan perasan atau pun tidak, jika kita istiqamah dengan amalan-amalan tertentu, sekali tertinggal atas sebab-sebab tertentu pasti jiwa resah, gelisah, tidak keruan, alhamdulillah syukur dikurniakan perasaan sebegitu. Dia yang menimbulkan perasaan sebegitu terhadap hamba-hambanya. Alhamdulillah Ramadhan yang berlalu mengajar banyak perkara kepada diri yang dhoif, dan kini dipertemukan dengan hari bersejerah di mana suatu ketika dahulu seorang ayah ya'ni, Nabi Ibrahim a.s berkorban demi Sang Pencipta yang tercinta. Semuanya kerana Dia. Ayah mana yang menjadi tidak keruan jika meninggalkan si isteri dan anak yang tercinta di suatu tempat yang sangat jauh tanpa makanan,minuman dan tempat tinggal yang selesa?

Nah, lihatlah pergantungannya pada Yang Esa. Sangat tinggi!Allah itu Maha Adil,masakan perintahnya itu adalah suatu yang sia-sia. Pengorbanan itu banyak tafsirannya, lain orang lain jawapannya. Ada ayah yang berkorban masa yang sepatutnya diperutukkan bersama isteri dan anak-anak demi mencari nafkah, ada ibu yang berkorban masa, tenaga dan keringat demi membela anak-anak yang istimewa, suami yang keluar melakukan kerja dakwah dan meninggalkan isteri di rumah berminggu-minggu malah berbulan. Sanggupkah kita sebagai manusia biasa menjadi seperti Nabi Ibrahim a.s? Mungkin kita belum pernah diuji dengan sesuatu yang sangat berat tetapi ketahuilah Allah itu lebih mengetahui akan hamba-hambanya. Janjinya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 286.

Andai diuji, redhalah, bersabarlah,kerana ganjaran bagi orang-orang yang bersabar sangatlah besar.Bersangka baiklah dengan Allah s.w.t, pasti ada sesuatu yang ingin ditunjukkan, carilah hikmah di sebalik kejadian,bersedih itu sudah tentu boleh, namun usah berlama-lama.Imbas kembali sirah Rasulullah s.a.w yang sudah pasti menjadi penguat diri setelah solat, doa dan zikir.InsyaAllah.

Ahamdulillah nikmat punya keluarga yang lengkap, abah, mak, abang dan adik-adik yang mempunyai seribu satu kerenah, sebagai kakak sulung banyak yang perlu diambil kira, tugas mendidik adik-adik turut tergalas di bahu. Ya, sudah pasti saya mahu yang terbaik untuk mereka. Saya mahukan mereka nanti menjadi orang yang menginfakkan masa dan tenaga demi Islam. Melihatkan kepada suasana dunia yang kian merisaukan seperti pengaruh negatif dari Barat dan juga pengaruh-pengaruh media, hati sedikit bimbang. Namun diri mencuba yang terbaik, semoga allah menuntuni hati-hati adik-adik saya ke jalan yang lurus yang diredhaiNya.

"Bekerja" untuk akhirat, agar kelak nanti kesenangan menjadi milik kita. Hisab diri sebelum diri dihisab. InsyaAllah...Salam aidiladha, selami erti pengorbanan dan bukan sekadar ucapan di bibir.






No comments: