Tuesday, November 24, 2009

Ibadah korban & hukum-hukum yang berkaitan

HURAIAN RINGKAS BERKENAAN


IBADAH KORBAN DAN HUKUM-HUKUM BERKAITAN DENGANNYA

Firman Allah Ta’ala bermaksud:

‘Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah”
(Al-Kautsar: 2)

“Dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”
(Surah Al-Hajj: 36)

1. SEJARAH KORBAN


Sejarah Korban anak-anak Nabi Adam a.s - Habil dan Qabil

Firman Allah Ta’ala bermaksud:
Bacakanlah (Yaa Muhammad) kepada mereka akan cerita yang sebenarnya tentang dua orang anak Nabi Adam (yang bernama Habil dan Qabil) iaitu ketika keduanya mempersembahkan korban (kepada Allah0, maka yang seorang dari keduanya (Habil) diterima korbannya sedang yang lain (Qabil) tidak diterima korbannya - sebab itulah Qabil marah kepada Habil seraya berkata: “Nescaya kubunuh engkau!”

Sejarah Nabi Ibrahim a.s mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s

Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (anak) daripada golongan orang-orang yang soleh. Maka kami (Allah) gembirakan dia dengan (mendapat) anak yang penyantun. Tatkala sampai (umur) sianak boleh berusaha, berkata Ibrahim: “Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam tidur (mimpi) bahawasanya aku akan menyembelih engkau, oleh sebab itu lihatlah (fikirlah) apa pendapatmu?” (Sianak yakni Nabi Ismail) menjawab: “Wahai bapaku! Buatlah apa yang diperintahkan kepadamu, nanti engkau akan mendapati aku - insyaAllah daripada golongan orang-orang yang sabar.”
(Al-Soffat: 100-102)

Untuk mengetahui kisahnya dengan lebih terperinci, tuan-tuan/puan-puan disarankan untuk membaca kitab-kitab tafsir yang mu’tabar. InsyaAllah ceritanya menarik untuk dijadikan I’tibar.

2. HIKMAH KORBAN

Menyembelih qurban juga merupakan amalan yang disukai oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dan sebagai bukti serta keikhlasan kita dalam menghidupkan syi‘ar agama Islam. Ini jelas difahami dari firman Allah Ta‘ala yang maksudnya:

“Daging dan darah binatang qurban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu”.
(Surah Al-Hajj:37)

Orang yang berkorban itu akan dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorban.

Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu.

Darah korban itu jika tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dan banyak lagilah. Bila dapat hayati sejarah korban Habil & Qabil serta kisah Nabi Ibrahim & Ismail … kitakan dapat menghayati/menyelami hikmahnya.

3. DEFINISI KORBAN

Korban bermaksud haiwan yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Dzulhijjah dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah Ta’ala
(Syeikh Daud al-Fathoni, Furu’ al-Masail, Juz 1: 259).

4. HUKUM MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Hukum asal ibadah korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya. Walaubagaimanapun ianya boleh menjadi wajib apabila dinazarkan. Maka secara ringkasnya, korban itu terbahagi kepada 2:

* Korban sunat (muakkad - yakni tersangat dituntut mengerjakannya)
* Korban wajib

Bagaimana korban boleh menjadi wajib? Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada:

* Nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun
* Nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar dan nazar dari segi hukum? Nazar sebenar/hakiki itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘ayin) binatang tersebut.

Binatang yang dinazarkan sebagai korban atau binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan).

Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga.

Jika luput dia daripada menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.

Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.

Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.

Adapun jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.

Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.

Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.

Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika simati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.

Orang yang membuat korban bagi simati dengan izinnya (yakni dengan wasiatnya) wajiblah atasnya bersedekah kesemuanya. Tidak ada bahagian untuk dirinya atau orang-orang dibawah tanggungannya (nafkah), kerana ianya merupakan orang yang menerima dan orang yang menyerah. (Matla al-Badrain)

Bapa atau datuk boleh melaksanakan korban bagi orang yang diwalikan seperti anak dan cucunya dengan diambil perbelanjaan daripada harta ayah atau datuk atau anak atau cucu itu sendiri.

5. WAKTU MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

Waktu penyembelihan korban bermula sesudah matahari terbit pada 10 Zulhijjah (Hari Raya Haji) dan sesudah kadar selesai solat dua rakaat solat hari raya dan dua khutbah pendek/ringan. Manakala yang afdhalnya adalah ketika matahari naik segalah. Waktu penyembelihan korban berlanjutan sehingga terbenamnya matahari 13 Zulhijjah.
Ringkasnya: 10 Zulhijjah - 13 Zulhijjah.

Jika binatang korban disembelih selepas berakhirnya hari Tasyriq (setelah berlalunya hari Tasyriq yang terakhir) sembelihan itu tidak dianggap sebagai korban kerana dilakukan setelah berlalu masa yang diharuskan. Tetapi bagi korban wajib (korban nazar) yang masih belum disembelih di dalam waktunya yang diharuskan, sehingga habis masa, ia wajib menyembelih binatang itu (walaupun diluar waktu) dan sembelihan itu dikira qadha.
(I’aanah at-Tholibin, Juz 2; hal: 331)


6. JENIS-JENIS BINATANG YANG BOLEH DIJADIKAN KORBAN SERTA SYARAT-SYARATNYA

Binatang yang sah disembelih untuk dibuat korban itu ialah binatang korban itu hendaklah binatang ternakan (an‘am) seperti:

* unta atau yang sejenisnya,
* lembu atau yang sejenisnya
* kerbau atau yang sejenisnya dan
* kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Maksudnya:“Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu”.(Surah al-Hajj: 34)

Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada daripada keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud aqiqah, misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:

Maksudnya:“Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (dari Madinah) mengucapkan tahlil (Lailahaillallah), dengan berniat untuk mengerjakan haji, maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor badanah”.(Hadis riwayat Muslim)

Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh dikongsikan. Jika dikongsikan seekor kambing itu untuk dua orang atau lebih, maka tidak sah korban tersebut.

Afdhalnya binatang yang dibuat korban itu yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.

Binatang itu hendaklah cukup umur. Dari Jabir bin Abdillah r.a, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Jangan kamu menyembelih korban melainkan yang telah musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah anak daripada biri-biri.” (Hadis riwayat Muslim)

Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan unta, lembu dan kambing. Maka ukuran umur bagi binatang korban itu ialah:

*
o Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.
o Lembu, kerbau dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun ketiga.
o Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat telah melimpasi umurnya enam bulan.


(Al-Majmu‘ 8/286-287 dan I‘anah ath-Thalibin 2/518)

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda bermaksud:“Binatang korban yang paling bagus adalah jadza kambing” (Hadith riwayat Termizi dan Ahmad)

Uqbah bin Amir telah bertanya kepada Rasulullah saw, maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku mempunyai jadza. Rasulullah menjawab: Berkorbanlah dengannya.”(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Syafie kalimah jadza dalam hadith-hadith diatas itu bermaksud kambing biri-biri yang berumur satu tahun.

Dan menurut Imam Nawawi: Keseluruhan ulama mazhab telah mengharuskan anak biri-biri yang berumur satu tahun (untuk korban) meskipun ia mendapat binatang lain ataupun tidak.

Didalam kitab Hasyiah al-Baijuri, Juz 2, halaman 306, ada menyebut “Mengikut pendapat yang rajih, apabila biri-biri yang belum sampai umur satu tahun tetapi telah bersalin giginya selepas ia berumur enam bulan maka boleh dibuat korban.”
Binatang jantan yang tidak banyak berkahwin lebih afdhal dari binatang betina. Sebaliknya binatang betina yang belum melahirkan anak adalah lebih afdhal daripada binatang jantan yang banyak berkahwin untuk disembelih sebagai ibadat korban.

~~~~~~~ oOo ~~~~~~~

Yang lebih afdhal berbuat korban bagi seseorang itu dengan seekor unta, kemudian seekor lembu, kemudian seekor kibasy, kemudian seekor kambing, kemudian berkongsi seekor unta atau seekor lembu dan tujuh (7) ekor kambing lebih afdhal dari seekor unta dan seekor lembu atau kerbau.

Binatang terafdhal untuk dijadikan korban ialah unta, kemudian lembu kemudian biri-biri dan kemudian kambing. Ini dinisbahkan dengan banyaknya daging kepada setiap jenis binatang.

Tujuh (7) ekor biri-biri untuk korban adalah lebih afdhal daripada tujuh (7) ekor kambing untuk korban. Manakala tujuh (7) ekor kambing adalah lebih afdhal daripada satu ekor unta untuk korban kerana bertambahnya taqarrubnya kepada Allah dengan banyaknya darah yang mengalir daripada sembelihan binatang korban.

~~~~~~~ oOo ~~~~~~~

Binatang korban itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang kurus dan lemah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak sah dijadikan korban itu ialah:

a. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dibuat korban.

b.Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak boleh ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat korban.

c.Binatang yang nyata sakitnya sehingga menjadikan binatang tersebut kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat korban.

d.Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.

e.Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga sejak dilahirkan kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya, walaupun sedikit.

f.Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat korban. (Sabilal Muhtadin 2/227)

g.Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat korban. (Sabilal Muhtadin 2/227)

h.Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban. (Muhammad Asy-Syarbibi, Al-Iqna’ fi hilli al-Faaz Abi Syuja’, Juz 2, halaman 280)

i.Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.

j.Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu‘ 8/293-2966 dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Pendapat ini adalah muktamad. Mengikut Ibn al-Rif’ah memadai korban daripada binatang yang bunting. Bagi binatang yang baharu beranak boleh dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli dalam Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib Syarbini dalam Mughni bahawa binatang tersebut tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul Muhtadin 2/213)

Binatang yang harus dibuat korban itu tidak kira samada jantan atau betina atau khunsa.

Binatang yang dikasi, sah dan harus dibuat korban, kerana dengan dikasi tubuhnya semakin bertambah gemuk. (Muhammad Asy-Syarbini, Al-Iqna’ fi hilli al-Faaz Abi Syuja’, Juz 2, halaman 280)

Tambahan: Ibnu Abbas r.huma berpendapat bahawa adalah memadai korban itu hanya dengan “menumpahkan darah” walaupun dengan binatang seumpama ayam atau itik, sebagaimana yang dikatakan oleh Midaani. Syeikh (guru) bagi Syeikh al-Bajuri menyuruh supaya bertaqlidkan kepada pendapat Ibn Abbas ini dan beliau mengqiaskan ‘aqiqah keatas korban dan menyuruh sesiapa [yang tak mampu] yang memperolehi anak membuat aqiqah dengan ayam jantan berdasarkan kepada mazhab Ibn Abbas. (Hasyiah al-Allamah Baijuri & Matla al-Badrain) - Yang ni bagi mereka yang tersangat tak mampu.

7. CARA MENYEMBELIH BINATANG KORBAN

Cara menyembelih binatang korban itu ialah dengan memotong kesemua halqum dan mari’ sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Halqum itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari’ itu pula ialah tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.

Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari’ itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari’ itu (belum putus) dan mati binatang tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu padahal halqum atau mari’ belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari’ yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh dimakan).

Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan mari’nya, dan menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai dengan kuat geraknya ketika disembelih.

Ketika hendak menyembelih binatang korban, sunat dibaca seperti berikut:

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Bismillah, Allahuma solli ‘ala Muhammad, Allahumma haazihi minka wa ilaika fataqabbal minni, Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Walillahil hamd

Maksudnya: Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah Ya Tuhanku kurniakan selawat dan rahmat keatas Sayyidina Muhammad. Ya Allah ya Tuhanku, Ini korban daripada Engkau dan kembali kepada Engkau, maka terimalah korban daripada hamba. Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dan kepada Allah lah kembali segala pujian.

Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di pangkal leher yang bawah (berhampiran dada) dengan memotong halqum dan mari’, kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Yang demikian itu juga akan memudahkan roh binatang itu keluar. Sementara binatang yang pendek lehernya seperti lembu, kerbau dan kambing disembelih di hujung leher (yang atas).

Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Sementara unta pula, sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. (Mughni al-Muhtaj: 4/341)

Sunat ditajamkan mata pisau bagi sembelih dan disembelih dengan kuat bersungguh-sungguh dan mengadap kiblat oleh yang menyembelih dan dihalakan ke kiblat akan binatang yang akan disembelih itu kerana kiblat itu semulia-mulia pihak.
Sunat diberi binatang itu minum sebelum ia disembelih. Kemudian sunat dibaringkan binatang itu dengan keadaan lemah lembut. Jangan diasah pisau sembelih dan jangan disembelih binatang yang lain di hadapan binatang yang akan disembelih itu.

Sunat dibiarkan binatang itu setelah disembelih sehingga ia mati.

Untuk kupasan lebih terperinci mengenai sembelihan, sila rujuk pada kitab-kitab feqah mengenai bab sembelihan.


8. PENGAGIHAN DAGING KORBAN .

Daging Korban Wajib:

Bagi korban wajib (korban nazar), maka yang demikian itu wajib disedekahkan semua daging sembelihan itu termasuk kulit dan tanduknya.

Dan haram atas orang yang berkorban wajib itu memakan daging tersebut walaupun sedikit. Jika dimakannya daging tersebut, maka wajib diganti kadar yang telah dimakannya itu, tetapi tidak wajib dia mentembelih binatang lain sebagai ganti.

Jika orang yang berkorban itu melambat-lambatkan pembahagian daging korban wajib tersebut sehingga rosak, maka wajib ke atas orang yang berkorban itu bersedekah dengan harga daging itu dan tidaklah wajib dia membeli yang baharu sebagai gantinya kerana telah dikira memadai dengan sembelihan tersebut.

Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

Daging Korban Sunat:

Sebagaimana yang kita ketahui berkorban itu hukumnya sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya.

Sunat bagi orang yang empunya korban itu memakan sebahagian daripadanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud : “Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir”. (Surah Al-Hajj: 28)

Afdhalnya yang dimakan itu ialah hatinya, kerana telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah makan sebahagian daripada hati binatang korbannya, tetapi makan di sini bukanlah bererti dia wajib memakannya.

Berdasarkan kepada ayat di atas, para ulama berpendapat bahawa selain daripada sunat dimakan, wajib pula disedekahkan sebahagian daripada daging korban sunat itu dalam keadaan mentah lagi basah kepada orang-orang fakir atau miskin yang Islam.

Ini bererti setiap orang yang berkorban sunat itu wajib menyediakan sebahagian daripada daging korbannya itu untuk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin. Tidak memadai jika daging-daging korban itu dihadiahkan keseluruhannya kepada orang-orang kaya misalnya. Hal inilah yang wajib diketahui oleh setiap orang yang berkorban.

Harus bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian; satu pertiga (1/3) untuk dimakan, satu pertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga (1/3) lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.

Namun yang afdhalnya adalah disedekahkan semuanya, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan jauh daripada sifat mementingkan diri sendiri.

Sekalipun sah korban sunat seseorang itu, jika dimakan kesemua daging korbannya dan tiada sedikit pun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.
Memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang kaya Islam adalah harus. Walau bagaimanapun hadiah itu setakat untuk dimakan sahaja, bukan untuk tujuan memilikinya. Ini bererti dia tidak boleh menjualnya, menghibahkannya atau sebagainya kecuali menyedekahkannya kepada fakir atau miskin. Berlainan halnya dengan orang fakir dan miskin, di mana daging yang disedekahkan kepadanya itu adalah menjadi milik mereka. Mereka diharuskan menjual daging tersebut atau menghibahkan (memberikan) kepada orang lain.

Satu perkara lagi yang wajib kita ketahui ialah hukum haram menyedekah dan menghadiahkan daging korban kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat sekalipun sedikit kerana ia adalah perkara yang berhubung dengan ibadat. Didalam kitab Matla’ al-Badrain: 81 “… haram hukumnya memberi, menghadiahkan atau menjual daging qurban tersebut kepada orang bukan Islam, sekalipun fakir miskin itu terdiri daripada kafir zimmi”. Oleh sebab itu, sekiranya ada bahagian daging tersebut yang diberikan, dihadiahkan atau dijual kepada orang bukan Islam, maka wajib diganti dengan daging yang lain sekira-kira menyamai kadar berkenaan.


Kulit atau daging binatang korban itu haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah jika penyembelih itu orang miskin atau hadiah jika dia bukan orang miskin.

Sepertimana yang dijelaskan di atas, bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah. Ini bererti tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu bukan daging seperti kulit, hati, tanduk dan sebagainya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak kemudian dipanggil orang-orang fakir dan miskin untuk memakannya kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak.


9. MENYEMBELIH BINATANG KORBAN DI LUAR NEGERI DAN DAGINGNYA DIAGIHKAN KE NEGERI YANG LAIN


Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.

Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?

As-Sayyid Al-Bakri Ad-Dumyathi, Pengarang Hasyiah I‘anah At-Thalibin menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam An-Nihayah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.

Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah di haruskan seperti mana katanya yang ertinya : “Adapun memindah wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.” (I‘anat At-Thalibin: 2/380)

As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman Al-Kurdi pernah ditanya :
“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.

Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.” (I‘anah At-Thalibin: 2/381)

Dalam perkara ini pengarang Kitab Sabil Al-Muhtadin pula menyebutkan: “Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu intaha. Maka iaitu zahir sama ada negeri Mekkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabil Al-Muhtadin: 214)

Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil mensedekahkan sekeliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabil Al-Muhtadin: 216)

Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.

Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:

I.Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.

II.Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain.

(I‘anah At-Thalibin: 2:380)

Maka sebagi jalan keluar, adalah lebih munasabah menjalankan sembelihan korban bagi pihak yang berwakil terus sahaja ditempat-tempat atau negeri-negeri yang akan diagihkan daging korban itu. Dengan ini dapat dielakkan hukum pemindahan daging korban daripada tempat sembelihan ke negeri lain. Kalau diperhatikan sekarang terdapat egen-egen yang mengelolakan ibadah korban diluar Malaysia seperti di Kampuchea, Vietnam, Ambon dll, dimana urusan penyembelihan dan pengagihan daging korban dilakukan ditempat-tempat tersebut.


10.HUKUM BERWAKIL MEMBELI DAN MENYEMBELIH KORBAN

Sepertimana kebiasaan di negara kita ibadat korban itu dilaksanakan dengan berkumpulan sama ada atas nama kementerian, jabatan, persatuan, kampung dan sebagainya. Kadang-kadang ibadat korban itu sudah menjadi projek tahunan bagi pihak-pihak yang berkenaan itu.

Jika dilihat daripada amalan kebiasaan bagi perlaksanaan ibadah korban itu, kumpulan tersebut akan menentukan wakil mereka untuk mengurus pembelian, penyembelihan binatang korban dan pengagihan dagingnya di pusat-pusat penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakalah iaitu berwakil.

11. HURAIAN UMUM MENGENAI WAKALAH

Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.

Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama.

Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:

i.Muwakkil (orang yang berwakil)

ii.Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)

iii.Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)

iv.Shighah (ijab dan qabul).

(I‘anah At-Thalibin: 3/100-101)


12. SHIGHAH DALAM WAKALAH

Apa yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shighah di mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahihan ibadah korban berkenaan.

Disyaratkan ijab ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama ada secara sharih (jelas atau terang) ataupun kinayah (yang tidak terang atau tidak jelas) seperti dalam kitabah (penulisan), persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan keredhaan hatinya. (Majmuk: 14/197)

Ini bererti ada interaksi antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan aqad. Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya qabul (ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan itu dengan upah. Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan qabulnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak. Adapun yang disyaratkan bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya, maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.

Jika dilihat ketentuan hukum dalam bab wakalah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak menepati kehendak sebenar hukum wakalah. Pada kebiasaannya, orang-orang yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkil kepada wakil yang dilantik.

Amalan tersebut tidak memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan bab wakalah orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkilnya (akad) sama ada dengan lafaz yang sharih atau kinayah kepada wakil yang ditentukan bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan daging korban tersebut.

13. MELANTIK WAKIL KEDUA

Dalam bab wakil ini, para ulama fiqh juga berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itu pun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya. Akan tetapi jika sebaliknya, iaitu dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil.
(Majmuk: 14/218)

14. MEWAKILKAN SEMBELIHAN BINATANG KORBAN

Menurut hukum asal berkorban itu bahawa sunat binatang yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu dan hadir ketika penyembelihannya. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

Keharusan berwakil dalam ibadah korban itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda sendiri menyembelih - dengan tangan Baginda yang mulia - enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah untuk menyembelih bakinya

15. PERSOALAN NIAT KORBAN


Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia ibadat dan harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.

Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.

Apa yang mesti diambil perhatian dalam hal berniat korban ini, ada baiknya ditentukan niat itu umpamanya sebagai korban sunat, bagi mengelakkan niat itu menjadi korban wajib, kerana haram bagi yang berkorban itu makan daripada daging korban wajib, bahkan wajib disedekahkan semua daging tersebut kepada fakir miskin.

Lafaz Niat Dan Tawkil Dalam Korban

Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu ialah seperti berikut:


Maksudnya: “Sahaja aku melakukan korban yang sunat”

Contoh lafaz berwakil:
“Buatkan korban/udhhiyyah sunat untuk saya”, atau
“Belikan korban sunat untuk saya”, yang bermakna: “Sembelihkan untuk saya, niatkan untuk saya.”

Contoh terima wakalah:
“Aku terima.”

16. PENUTUP

Oleh kerana hukum berkorban itu sunat mu’akkadah dan mempunyai kelebihan- kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.

Supaya korban itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah korban itu. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara‘.


Wallahu’alam


وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم أجمعين، والحمد لله رب العالمين


Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:

Almukminun


07 Zulhijjah 1429H / 05122008

Monday, October 26, 2009

Apabila manusia terlampau “pandai”

Tulisan ini barangkali ditujukan buat golongan yang sememangnya “pandai” dalam mempersoalkan hukuman Allah dan tidak kurang juga berani memperlekeh-lekehkan agama Islam tanpa ada rasa malu pada Sang Pencipta yang merupakan pemilik alam ini, bahkan malunya hanya pada manusia yag berharta dan berkuasa. Inilah yang dikatakan Islam hanya pada nama…Na’uzubillah min zalik.Allah…ampunilah dosa-dosa kami, tunjukilah kami jalan yang lurus yang engkau redhai…kesimpulannya tulisan ini untuk kita semua yang bergelar dai’e ilallah…

Firman Allah, (49:10)

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu, damaikanlah antara kedua-dua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”

Semalam,25 Oktober 2009 (Ahad), saya dan dua orang lagi sahabat diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk hadir ke Seminar Pelaksanaan Undang-undang Syariah : Isu & Cabaran. Seminar diadakan di Dewan JAIP, Kuantan bersebelahan dengan masjid.Alhamdulillah, dan satu perkara lagi saya terpaksa ponteng kelas Human Genetic semata-mata mahu ke sini. Kelas ini diadakan pada hari sabtu juga, pagi dan petang dan kemudian prof mahu mengadakan kelas terakhir yakni pada hari ahad, 25 oktober, tarikh yang sama dengan seminar tersebut. Memandangkan kelas tersebut hanya lebih kepada cerita peribadi dan kehidupan prof di samping hanya membaca slide, saya bercadang untuk ke seminar tersebut, dan ada juga seorang sahabat yang tidak hadir ke kelas dek kerana mahu benar ke seminar ini.

Seawal jam 7.30 pagi saya sudah berada di sekitar dewan kerana ditugaskan untuk menguruskan bahagian pendaftaran. Seronok bekerja dengan NGO Islam yang lain di samping dapat berkenal-kenalan dengan mereka. Alhamdulillah, masih ada program yang melibatkan kerjasama daripada pelbagai NGO Islam.Syukur Alhamdulillah.Seminar ini dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia dengan kerjasama sekretariat Gabungan NGO Islam Negeri Pahang ABIM, NADWAH, JIM, HALUAN, WADAH, PEGUAM SYARIE, PERKIM, MKIMP, ISMA, IKATAN, MACMA, PEKIDA, PKPIM, IIF

Tiga pembentangan kertas kerja dan tiga forum diadakan semalam. Forum mengenai Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah ; Isu dan Cabaran, pengalaman negeri Pahang dalam melaksanakan undag-undang syariah dan yang terakhir forum mengeni pelaksanaan hukuman sebat dalam jenayah syariah, arak dan zina.

Banyak perkara yang disentuh sepanjang program berlangsung. Seminar ini akan diadakan juga di Sabah dan Sarawak kerana mereka tidak merasai bahang mengenai isu ini di sana, oleh itu ABIM mengambil langkah untuk membawa pendedahan mengenai isu dan cabaran dalam pelaksanaan undang-undang syariah dan kemudian akan berdialog dengan SIS. Sekiranya kumpulan ini tetap dengan pendirian mereka, maka langkah yang sewajarnya sepatutnya diambil. Apakah yang mereka mahukan lagi sekiranya sudah jelas apa yang kabur? Mungkin mereka kurang jelas namun jika masih lagi bersikap sombong untuk tidak mahu merima kenyataan, mereka seharusnya kembali ke sekolah atau kuliah-kuliah ilmu atau juga merujuk para ulama’. Penerangan cara-cara sebatan syariah dan demonstrasi sebatan menunjukkan Islam agama yang sangat indah dan sangat adil kepada penganutnya, dan saya yakin andai hukuman ini dijadikan panduan dalam undang-undang sivil, pasti undang-undang sivil akan segera diubah tanpa mengira undang-undang dari luar mahupun dalam negara. InsyaAllah, terpulang kepada kerajaan yang dikatakan kerajaan ataupun negara Islam ini.Sesiapa yang berhajatkan kertas kerja seminar tersebut boleh menghubungi saya.Eloklah diberikan kepada sahabat-sahabat lain.

Akhir zaman ini membawa Islam agak payah, namun kemenangan Islam itu sudah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Namun kita di sini bukan untuk hanya menyaksikan janji itu terlaksana namun kitalah umat akhir zaman yang bergerak dan bekerja bersama-sama demi melihat janji Allah itu menjadi kenyataan.InsyaAllah…

Dalam surah Al-Ankabut ayat 2 sudah jelas untuk mendifinisikan diri kita yang kadang-kadang mengatakan kita ini sudah cukup beriman sedangkan tidak langsung!Diuji sedikit sudah goyah, setiap ujian dan badai yang menimpa harus kita terima dengan tabah dan menganggapnya sebagai tarbiyyah daripada Ilahi. Namun tidak semua daripada kita mampu berbuat sedemikian, ada yang mengambil langkah berhenti sepenuhnya daripada gerak kerja Islam. Allah menyediakan kepada kita semua jalan-jalan kebaikan dan juga jalan-jalan kejahatan. Yang mana satukah pilihan? Sememangnya kita tidak mampu mengubah Sunnatullah, kita tidak mampu membuat sebiji buah epal yang jatuh ke permukaan Bumi untuk kembali berada di tempatnya seperti sebelum itu. Takdir yang bias kita ubah dengan usaha harus kita cuba mengubahnya demi kesejahteraan ummat. Biarlah kita berpeluh-peluh di dunia agar nanti di akhirat kita bersenang-senang dengan nikmat di syurga.InsyaAllah. Allah jualah yang selayaknya kita abdikan diri.

“Macamlah hebat sangat dia berdakwah”…

“Tak payah susah2 tegur orang diri sendiri pun tak betul”

“Kita tak layaklah nak bagi tazkirah”

Ungkapan-ungkapan di atas sudah selalu benar diri ini dengar. Jemu kian menerjah.

Dengan menjadikan sabdaan Rasulullah s.a.w sebagai panduan, kita seharusnya matang sebelum membuat keputusan atau berkata sedemikian. “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat”…Sememangnya kita bukan maksum, maklumlah ada sahaja dosa-dosa yang dilakukan setiap hari, namun harus kita sedar bahawa tanggungjawab kita sesama muslim adalah berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, pada masa yang sama cuba memperbaiki diri dan cuba melaksanakan apa yang dikatakan agar ianya bukan sekadar kata-kata retorik.

Jika anda seorang yang pemalas dan suka menghabiskan masa dengan tidur dan bermain game,cuba ubah tabiat buruk ini jika anda berazam mahu memberi peringatan kepada sahabat-sahabat yang lain. Sekiranya anda sibuk mengatakan anda mewakafkan diri di jalan Allah, buktikan…Sekiranya anda seorang naqibah, ubahlah sikap supaya menjadi naqibah yang baik kepada adik-adik dan mad’u dan jauhkan daripada sikap bersangka buruk dengan orang lain. Setiap daripada kita punya kekurangan dan Allah tidak memandang para rupa paras kita tetapi dia memandang pada hati kita.

Indah hidup ini jika kita meyakini Allah sentiasa bersama kita dalam keadaan susah dan senang dan apabila kita sentiasa memikirkan mati dan membuat persiapan ke arah itu. Sahabat-sahabat, kehidupan di akhirat itu menjadi dambaan kita semua, berdoalah agar kita kuat di jalan yang penuh liku ini. Semuanya kerana Allah, infakkan harta dan masamu untuk Islam, walau jumlahnya sedikit namun pasti ada nilai di sisi Ilahi Rabbi!



Sunday, October 11, 2009

Kita satu hati!

Akhirnya program yang terpaksa ditangguh atas sebab-sebab tertentu terlaksana jua pada 10 haribulan Oktober baru-baru ini di Hotel Citiview, Kuantan.Alhamdulillah, saya dan lima orang lagi sahabat diberi kesempatan oleh Saudara Hasanin untuk turut serta dalam program yang saya kira sememangnya menuntut kita untuk sentiasa cakna dengan isu semasa dan lebih-lebih lagi isu yang berkait rapat dengan Islam yang sering kali berlegar-legar di ruangan masyarakat yang kadang-kadang tidak semua daripada kita mahu tahu dan ambil tahu. Apa yang paling utama ialah kesempatan ini diberikan oleh Yang Esa untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. InsyaAllah.

Forum anjuran International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dan International Institute of Advance Islamic Studies (IAIS) Malaysia ini membawa isu-isu Islam dan Demokrasi yang dibincangkan bersama dalam kumpulan-kumpulan kecil seramai 12-13 orang untuk satu kumpulan dan dikendalikan oleh seorang moderator yang akan bertanyakan beberapa soalan kepada setiap orang. Perbincangan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Empat perkara utama yang dibincangkan iaitu mengenai hak-hak wanita (women’s right), hak kaum minoriti, toleransi agama (religious tolerance) dan yang terakhir urus tadbir yang baik (good governance).

Setiap peserta di dalam satu kumpulan diminta memberi pendapat masing-masing berkenaan isu-isu yang dilontarkan dan uniknya perbincangan ini adalah kerana setiap pandangan dan idea yang dilontarkan tiada yang salah dan tiada yang betul. Kumpulan saya menyaksikan wakil daripada PKPIM iaitu saya sendiri dan seorang lagi sahabat, wakil dari UMNO, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), badan-badan swasta,wakil daripada persatuan ibu tunggal, MUTIARA, HALUAN dan ada juga beberapa orang yang datang secara individu. Sejujurnya sebelum ke program rasa gementar menyelubungi diri memandangkan diri tidak pernah membincangkan sesuatu yang serius di hadapan mereka yang lebih berpengalaman dan lebih berilmu. Tidak lupa juga untuk saya kongsikan bersama mereka pada tempoh hari mengenai kata-kata Hukama yang menyatakan bahawa manusia akan binasa kecuali yang berilmu, dan binasa jika tidak mengamalkan, dan juga binasa jika tidak ikhlas, maka di sini beruntunglah mereka yang melakukan amal dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Hal ini lebih tertumpu kepada golongan suri rumah tangga. Memandangkan ada seorang wakil daripada badan swasta yang menyentuh isu perlunya wanita duduk di rumah sahaja untuk mendidik anak-anak dan saya berpendapat biarlah wanita menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin dan menjadi suri rumah bukanlah halangan, dan apa yang paling utama mereka seharusnya cuba untuk mengamalkan ilmu yang diperoleh.

Seronok mendengar pandangan daripada non-muslim, di sini saya tahu bagaimana pemikirannya terhadap isu-isu sebegini dan dia juga sangat peramah dan senang sekali berbicara dengan semua yang rata-ratanya Muslim. Beliau mewakili badan yang memperjuangkan mereka yang kurang bernasib baik yang merangkumi wanita, remaja dan kanak-kanak.Satu persoalan yang ingin saya timbulkan di sini, mengapa gerakan islam seolah-olah tidak begitu mengambil berat isu-isu wanita yang memerlukan pembelaan? Sedih melihat pusat jagaan orang-orang tua dan rumah kebajikan wanita yang dimonopoli orang bukan Islam.Mereka yang punya pengalaman mohon tunjukkan saya jalan agar kita sama-sama berusaha mewujudkan rumah-rumah jagaan golongan sebegini, mungkin saya tidak mampu memandangkan diri ini masih lagi belajar dan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.Kadang-kadang begitu hebat untuk kita berkata sesuatu yang besar ditambah dengan ayat-ayat berbunga dan penuh falsafah yang jarang difahami mad’u, apakah mesej itu sampai atau sekadar di bibir?Apa yang telah saya lakukan untuk ummat ini? Semoga Allah menunjuki kita jalanNya yang lurus agar kita bukanlah orang yang pandai bercakap mengenai perkara-perkara yang besar namun melupakan mereka yang di bawah. Nabi mengajar agar kita berhikmah dalam setiap apa yang kita lakukan dan perkatakan..Astargfirullahal’azim.

Banyak perkara yang disentuh Saudara Hasanin sewaktu perjalanan kami ke tempat program.Banyak juga yang difikirkan dan ada perkara yang masih lagi saya kecew dengan diri yang sungguh banyak kelemahannya. Hanya Allah yang mampu membantu. Pengalaman ini sememangnya berharga dan pencetus kepada suatu perubahan dan perangsang untuk diri.InsyaAllah…Perubahan yang bagaimana?Semuanya diri sendiri yang bisa menjawab. Segala yag dilakukan pastikan ditanya di akhirat kelak. Di sana tiada lagi pembohongan, hanya amal yang mampu berkata-kata, Ya Allah kau tetapkanlah hati-hati ini semoga sentiasa berada di jalanMu dengan penuh ketaatan….

Kesimpulannya, buat mereka yang bercita-cita merubah masyarakat melalui politik terutamanya, jadilah pemimpin yang bekerja untuk rakyat dan bukan berada di dunia sendiri. Permasalahan masyarakat yang begitu banyak kadang-kadang membuatkan satu kelompok terasa begitu beban, walhal ini adalah tanggungjawab kita bersama! Hidup Biar Berjasa!!!

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : "Tiada sempurna iman seorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia cintai dirinya." (Bukhari dan Muslim)

Tuesday, September 1, 2009

Membina diri menjadi murabbi

Sungguh, menjadi murabbi yang sukses adalah impian setiap dai'e kerana seorang murabbi merupakan contoh dan tauladan kepada mutarabbi.

Maka, suka untuk saya kongsikan di laman ini apa yang dibaca bersama sahabat-sahabat..sama-sama kita berusaha menjadi murabbi yang baik untuk dik-adik/mutarabbi kita.InsyaAllah..

Here it is.

Menjadi orang yang shalih dan mushlih adalah buah yang kita harapkan dari proses pembinaan yang kita jalani. Shalih secara pribadi dan mengupayakan tumbuh kembangnya keshalihan pada orang lain merupakan teladan dari Rasulullah SAW dan para salafushshalih yang sepatutnya kita ikuti. Alhamdulillah, saat ini sangat banyak di antara kita yang mendapatkan kesempatan menjadi mentor atau murabbi baik di kampus maupun sekolah. Sesungguhnya yang kita inginkan bukanlah semata banyaknya jumlah adik mentor atau mutarabbi kita.
Akan tetapi yang jauh lebih penting adalah bagaimana agar kuantitas dan kualitas selalu merupakan fungsi yang bergradien positif. Atau menurut slogan seorang ikhwah,”Daripada berjuang bersama 20 orang tapi tidak berkualitas, lebih baik berjuang bersama 2000 orang yang berkualitas.”

Kunci utama peningkatan kualitas umat ini terletak di tangan para penyeru seruan Islam itu sendiri. Atau dalam konteks ini berarti penentu penjagaan dan peningkatan kualitas keshalihan para adik mentor/mutarabbi adalah para mentor/murabbi itu sendiri.

Berikut ini adalah beberapa karakteristik yang mesti kita usahakan agar melekat pada diri para mentor/murabbi :
1.
Al-Fahmu As-syamil al-kamil, yaitu pemahaman yang sempurna dan menyeluruh terhadap dasar-dasar keislaman dan rambu-rambu petunjuknya, juga terhadap apa yaang akan didakwahkannya, karena seorang mentor/murabbi akan mentarbiyah seseorang yang memiliki akal, perasaan dan pemahaman, dan orang tersebut akan merefleksikan apa yang didengar dan diperhatikan dari sang mentor/murabbi, maka apabila seorang mentor/murabbi tidak memiliki level pengetahuan yang memadai dan wawasan pemahaman yang menyeluruh tentang dasar-dasar keislaman, maka hal itu akan memindahkan sebuah kebodohan kepada adik mentor/mutarabbinya, yang pada gilirannya akan menimbulkan masalah dalam pembentukan kepribadian muslim sang adik mentor/mutarabbi itu sendiri.

2.
Waqi’ ‘Amaly, yaitu keteladanan sang mentor/murabbi dengan amal perbuatannya yang secara real tampak jelas pada perilakunya, seperti geraknya, diamnya, bicaranya, atributnya, pandangannya dan ibrohnya, seluruh keteladanan itu adalah buah refleksi dari pengaruh keimanan dan pemahaman dalam kehidupan sang mentor/murabbi, dalam rangka memberikan pengaruh keteladanan yang baik (Qudwah shalihah) pada saat kemunculannya di tengah-tengah masyarakat.

Seorang ulama, Hasan Al-Banna mensifati murabbi dengan sebutan da’i mujahid, lebih jelasnya beliau menyebutkan bahwa da’i mujahid adalah : “Sosok seorang da’i yang telah mempersiapkan segala sesuatunya, yang terus menerus berfikir, besar perhatiannya dan siap siaga selalu”. Begitulah seharusnya seorang mentor/murabbi, tercermin iman dan keyakinannya pada perilaku dan amalnya. Berdasarkan penelitian pada perjalanan kehidupan sang mentor/murabbi, bahwa pengaruh mereka terhadap banyak orang lebih banyak berasal dari perilaku dan akhlaknya yang istiqomah di setiap keadaan. Sudah menjadi pemahaman umum bahwa “Manthiqal Af’al aqwa min manthiqil aqwal” ( Logika amal / perbuatan lebih kuat dari logika kata-kata). Dikatakan pula oleh ulama salafushashalih : “Man lam tuhadzdzibka ru’yatuhu fa’lam annahu ghairu Muhaadzdzab” (Barang siapa yang tidak mendidikmu ketika engkau melihatnya maka ketahuilah bahwa orang itu juga tidak terdidik).

Al-imam Syafi’i rahimahullohu berkata : “Man wa’adzho akhohu bifi’lihi kaana Haadiyan” (Barang siapa yang menasehati seudaranya dengan amal perbuatannya maka berarti ia telah menunjukinya”. Oleh karena itu keteladanan adalah fokus yang sangat sensitif dan halus, karena apa yang tampak pada dirinya jauh lebih besar pengaruhnya dari apa yang diucapkannya (Al-Mandzhor a’dzhomu ta’tsiran minal qoul).

3. Al-khibroh binnufus, yaitu berpengalaman dalam memahami aspek kejiwaan, karena sesungguhnya lapangan kerja seorang mentor/murabbi tidak lain adalah kejiwaan, bergumul dengannya dan menjadikannya sasaran yang pertama dan terakhir dalam proses tarbiyah, sedangkan jiwa tidak seperti gigi sisir, akan tetapi jiwa orang berbeda satu dengan yang lainnya, ada yang lemah, ada yang kuat, ada yang peka dan over sensitif. Ada yang lembut , ada yang keras,bebal dan sebagainya.

Oleh karena itu seorang mentor/murabbi hendaknya menyikapi seseorang sesuai dengan kejiwaannya dan berhati-hati dalam berinteraksi dengannya, maka jangan bersikap terlalu tegas dan keras kepada orang yang jiwanya halus dan peka, melainkan harus dihadapi dengan lemah lembut , sebaliknya orang yang jiwanya keras harus dihadapi dengan ketegasan jika ia lalai dan menyimpang. Adalah Rosululloh SAW sosok murabbi pertama yang berpengalaman dalam ilmu jiwa, beliau tidak mempergauli para sahabatnya dengan sikap yang sama antara yang satu dan lainnya, karena beliau sangat tahu akan tabiat manusia dan kejiwaan mereka. Dalam hadits riwayat Bukhari dari Abdulloh ibnu mas’ud RA. Beliau bersabda : “Adalah Rosululloh SAW pernah beberapa hari lamanya tidak memberikan nasehat dan wejangan kepada kami, karena beliau takut kami menjadi bosan” (Al-Hadits)

Berkaitan dengan Al-khibroh binnufus, banyak contoh keteladanan dari murabbi zaman ini, diantara mereka adalah Hasan al-Banna, di mana telah terjadi dialog antara beliau dengan salah seorang ikhwah, Ikhwah tersebut berkata : “Sesungguhnya ana lagi banyak muskilah dan banyak yang ingin ana adukan kepada Antum, masalah yang ana hadapi ada yang bersifat umum dan ada yang khusus”, maka kata Hasan Al-Banna : “Sudahlah jangan bebani diri Antum dengan masalah itu, serahkan urusan Antum kepada Alloh”, “Tapi, ana ingin Antum tahu”, sergah Akh tersebut, “Sesungguhnya ana sudah tahu” kata Al Banna seraya meyakinkan Akh tersebut, “Jadi ana bahagia kalau antum mau tahu” balas akh tersebut.

Akan tetapi belum sempat ana memulai curhat, beliau sudah mendahuluiku dengan rentetan musykilah dan keluhan yang dialaminya sendiri, bahkan yang mengherankan apa yang diutarakannya sama dengan apa yang ana rasakan . setelah beliau selesai berbicara, maka ana pun berkata kepadanya : “Ya ustadz….. demi Alloh sungguh ana sangat bahagia, dan ana tidak akan mengeluh lagi”, ana mengatakan semua itu sambil terisak dan bercucuran air mata”.

(Tawazun)

Monday, August 10, 2009

Bicara seorang hamba

Bismillahirrahmanirrahim...

Semoga pengunjung blog ini dan sahabat-sahabat berada dalam keadaan yang sihat sejahtera, doa saya agar kalian tabah menghadapi sebarang ujian yang hadir dalam setiap genap ruang kehidupan.Benar, ujian itu datang dalam pelbagai bentuk dan cara.Hadapilah dengan penuh hikmah dan sabar. Sebenarnya, banyak perkara yang ingin dikongsikan bersama.Alhamdulillah, banyak input yang saya peroleh dan ingin sekali dikongsikan di ruangan ini, namun baru kini punya masa berkualiti untuk berkongsi.

Dengan izinNya saya berpeluang menyertai muktamar ABIM pada 1 Ogos 2009 yang lalu, dan bersempena dengan muktamar tersebut diadakan Seminar Tajdid Generasi & Gerakan Dakwah:Menangani Kemelut Sosio-Politik Ummah menerusi Manhaj Ilmiyyah Ruhaniyyah di samping Debat Perdana oleh Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki(orang negori tau..huhu). Untuk seminar tersebut saya hanya berpeluang menyertainya selepas waktu Zuhur memandangkan pada paginya membantu sahabat menjadi fasilitator untuk program Rehlah IKRAK. Ada hikmahnya mengapa Allah meletakkan saya di sana pada sebelah paginya..huhu.

Selesai sahaja rehlah bersama mereka di Bukit Cerakah, saya ke UNISEL untuk mengikuti seminar tetapi sewaktu itu sudah pun habis sesi pertama.Melihatkan pada tajuk seminar barangkali ada yang menganggapnya hanya mengenai politik bukan???Sememangnya saya tidak minat politik tetapi perlu juga untuk mengambil tahu keadaan politik semasa.Slot kedua selepas Zuhur ini menyaksikan barisan panel yang sangat saya kagumi, Al-Fadhil Ustaz Uthman El-Muhammady dan Ustaz Fahmi Zam Zam. Rasa gembira dapat bertemu secara face-to-face dengan mereka. Orang-orang yang berilmu dan mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam bidang dakwah.Lalu di tepi mereka sahaja sudah terasa lain.Gaya mereka yang sememangnya gaya seorang ulama, cukup tawadhuk dalam setiap tindak tanduk dan tutur kata.

Ustaz Uthman, menekankan mengenai kehidupan kerohanian yang merupakan paksi dalam hidup kita dan beliau mengingatkan kita supaya mengingati Pencipta kita sekurang-kurangnya 10 kali sehari.Kehidupan rohaniah wajib hadir dalam hidup seseorang yang bergelar Muslim dan pengharapan dan rasa malu itu perlu sentiasa ada terhadap Allah s.w.t.Kertas kerjanya ada diberi semasa seminar, sahabat-sahabat yang menginginkannya boleh terus berhubung dengan saya.Kalian boleh membacanya nanti.

Ustaz Fahmi Zam Zam pula menyentuh soal pembinaan asas kerohanian ummat dengan menegaskan bahawa keselamatan umat bergantung pada kekuatan rohaniah ummat itu sendiri. Benar, andai hidup ini kosong daripada amalan-amalan kerohanian, jiwa akan mati dan kekuatan untuk menghadapi hidup akan pudar dan seterusnya hilang, lantas membawa kepada perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Beliau ada menyatakan bahawa pekerjaan anbia dan mursalin yang perlu dilaksanakan ada empat aiatu:

1)ta'alim
2)tazkiyah (sempurnakan keseluruhannya dan juga sebagai pembentukan peribadi)
3)tilawah
4)ta'alim wal hikmah

Menurutnya, manusia apabila dibiarkan akan bergelumang dengan nafsu dan manusia itu sendiri boleh diproses menjadi 'adilan 'alima. Manusia terdiri daripada 2 unsur ya'ni unsur rohani dan jasmani. Kesihatan jasmaniah adalah penting namun apa yang paling penting adalah kesihatan rohaniah. Setiap kali matahari terbit, setiap kali itu kita bangun tetapi belum tentu insaniah kita terjaga.Di sini kekuatan rohaniah memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan kita sebagai dai'e.

Menurutnya lagi iman bisa mencapai tahap yakin iaitu merupakan martabat tinggi.Sebagai contoh seseorang yang nampak bayangan syurga dan neraka, lantas senantiasa mengawal tindak tanduk agar nafsu dan emosi tidak mendominsasi dan ini dikatakan imannya mencapai tahap yakin.Begitu juga bagi insan yang beribadat di Masjid Nabawi dan membayangkan syurga di sebaliknya.

Beliau juga ada menekankan mengenai kepentingan zikrullah dan betapa zikrullah memberi penangan yang hebat terhadap kehidupan insan. Dengan sikrullah kita bisa menjadi insan yang cemerlang!

"Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar"

(Al-Ahzab:35)

Pada malam harinya, selesai sahaja membantu anak-anak ABIM untuk tasmi' bacaannya saya ke masjid Negeri Shah Alam untuk mengikuti Pidato Perdana Syeikh Fuad mengenai Aspirasi Kebangkitan Generasi Salahuddin Al-Ayubi.Agak terlambat ke sana kerana leka sebentar dengan adik-adik ini..huhu.Alhamdulillah, semasa sampai Qasidah didendangkan menandakan belum bermula lagi pengisian oleh Syeikh Fuad.Seperti kenal dengan bait-bait Qasidah yang didendangkan dan teringat pula Maahad Sofa..huhu.

Syeikh Fuad menyatakan bahawa Salahuddin Al-Ayubi merupakan seorang kaki botol, dan akhirnya menjadi seorang yang begitu hebat dalam sejarah Islam. Pokok pangkalnya jangan lupa untuk mndapatkan dan membaca buku Generasi Salahuddin Al-Ayubbi.Rasanya tidak perlu saya ulang kisah Salahuddin Al-Ayubi cukup sekadar mengajak sahabat-sahabat untuk mencontohi beliau, dalam proses membina generasi Salahuddin Al-Ayubi, mahu tidak mahu kita perlu membaiki diri sendiri dahulu sebelum membentuk generasi Salahuddin Al-Ayubbi.Sedih melihat anak-anak muda yang kian rosak akhlaknya, marilah sahabat-sahabat kita dekati mereka, mereka perlukan kita semua!

Ingat lagi kata -kata Ustaz Fahmi bahawa tidak pernah pun seorang pemimpin yang pernah berkata bahawa dia ingin memberishkan akidah rakyat kepada aqidah yang sahih.Salahuddin Al-Ayubi seorang yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengajak kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pemimpin sekarang lebih kepada keadaan senang lenang daripada merasai kesusahan rakyat, yang sebalinya alhamdulillah. Seorang pemimpin tidak sepatutnya lebih berasa senang daripada rakyat. Sesungguhnya besar sekali tanggungjawab mereka.Rasulullah s.a.w sanggup berlapar demi ummat, sanggup hidup susah demi ummat kerana baginda Rasulullah tahu nikmat yang tidak terkira itu ada di syurga. Tidak pernah sekali Rasulullah ingin menjamah makanan yang sedap-sedap.Astargfirullah hal azim.Banyak sungguh dosa ummatmu ini Ya Rasulullah!

Dan keesokan harinya, muktamar berlangsung.Sungguh, ini merupakan kehadiran saya yang pertama ke Muktamar ABIM.Banyak input yang saya peroleh dan tidak lupa juga punya kesempatan berjumpa dengan senior-senior ABIM dan PKPIM.Tidak sekali merasa sesal mengorbankan hujung minggu yang sepatutnya pada perancangan awal ingin menghabiskan ulangkaji, dan saya pulang dengan ilmu di dada.Alhamdulillah.Moga perjalanan saya ke sana pada hari tersebut diredhai Allah s.w.t.Terima kasih pada Abg Mahadi dan Kak Noni yang sudi menumpangkan saya dan sahabat-sahabat ke Shah Alam dan tidak lupa juga untuk anak-anak mereka yang sungguh comel dan menceriakan keadaan.Seronok melihat gelagat anak-anak mereka dan juga sepasang suami isteri yang masih berada dalam arus perjuangan Islam.Moga kalian berdua terus istiqamah!!!Biar sedikit tetapi kita terus istiqamah.Itulah sebaik-baik amalan.


Allahu'alam.



Friday, August 7, 2009

Mereka...

Alhamdulillah wa syukurillah...

Jangan pernah jemu mengucap kalimah Alhamdulillah, andai jemu atau tidak pernah langsung kalimah itu terlintas dahulu selain perkataan-perkataan "yes" atau apa sahaja, tanya diri kembali adakah kita tergolong dalam golongan yang sentiasa mensyukuri nikmat pemberian Ilahi, hatta sekecil-kecil benda yang kita peroleh di dunia yang sementara ini. Dalam Al-Quran telah pun tercatat bahawa kita jarang sekali bersyukur, ayuh sahabat-sahabat, perbanyakkan syukur kerana nikmatnya tidak terkira, nikmat punya ayah dan ibu di depan mata, adik-adik, sahabat-sahabat dan pelbagai lagi nikmat besar yang tidak bisa untuk kita senaraikan di ruangan ini.Subhanallah...

Alhamdulillah, kini saya berada di rumah setelah Kuliyyah of Science tutup sehingga hari Khamis minggu hadapan. Erm, mungkin ada hikmahnya. Kebetulan, ada dua kuiz menanti minggu hadapan dan pada masa yang sama cuti telah diumukan dek kerana H1N1. Nampak gaya banyak lagi perkara akan tertangguh dan kelas-kelas yang harus diganti. Di saat menunggu Pak Teh mengambil saya untuk ke Terminal pagi tadi, saya teringkatkan sahabat-sahabat yang dikuarantin di UIA, sedih, pilu dan bermacam-macam lagi perasaan bercampur baur. Satu persatu meninggalkan kampus dan mereka bertungkus lumus melawan penyakit yang mendatang, semua ini ujian dari Ilahi, sejauh mana hamba-hambaNya bersabar.

Ya Allah, kau bantulah mereka yang sedang menderita kesakitan agar tabah menghadapi ujian kecilMu ini Ya Allah..bantulah mereka Ya Allah..Kuatkan mereka Ya Allah...

Hanya doa yang dapat saya kirimkan pada mereka. Semalam, usai sahaja ifthor bersama sahabat-sahabat, kami berjemaah Maghrib bersama di Musolla CF Brother memandangkan Musollah CF sister sudah pun ditutup untuk dijadikan tempat kuarantin. Tidak lama kemudian, imam memberitahu bahawa musolla akan ditutup selepas isyak disebabkan tujuan yang sama. Saat mendengar berita ini, hati bertambah pilu, masakan mereka ingin menempatkan mereka di situ. Moga Allah kurniakan mereka ketabahan. Pagi tadi ada ternampak beberapa biji tilam di dalam Musolla, sekali lagi hati ini sayu...

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, pelbagai gelagat manusia saya perhatikan. Sedih melihat anak-anak muda perempaun yang berpakaian seperti tidak cukup kain, sungguh ramai sekali, ini baru sedikit belum lagi di tempat-tempat lain. Ingin ditegur secara berhikmah tetapi diri pada waktu itu agak lemah.

Cukuplah kematian sebagai pengajaran buat kita. Satu hari kita bakal menyusuli insan-insan lain. Masa, tempat dan caranya sahaja tidak kita ketahui. Wahai diri, jangan tahu bercakap sahaja, laksanakan setiap apa yang kau katakan, di akhirat nanti hanya amalan yang akan menjawab!!!